KUALA LUMPUR: Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D), cabang inovasi Telekom Malaysia Bhd (TM) baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd (ZTE) untuk bekerjasama dalam penyelidikan rangkaian optik yang membawakan pengalaman lebar jalur atau 'bandwidth' 50 gigabait sesaat (Gbps) pertama ke Malaysia.
Di bawah perjanjian ini, TM R&D dan ZTE, penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi terkemuka di dunia, akan bersama-sama meneroka keupayaan teknologi akses Rangkaian Optik Pasif (PON) generasi akan datang, iaitu 50GPON, untuk menyokong pelbagai senario aplikasi.
Di samping itu, kedua-dua entiti akan turut mengkaji kes-kes gunaan yang boleh memberikan akses ultra jalur lebar kepada kerajaan, perusahaan dan pengguna, serta menyokong keperluan perkhidmatan inovatif seperti 5G, Cloud Virtual Reality (VR), pembuatan pintar industri untuk lebar jalur yang tinggi, tahap lengahan & keseragaman isyarat yang rendah, serta penyeragaman masa yang kesemuanya akan meningkatkan pengalaman pengguna di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah, berkata syarikat komited untuk menjalankan penyelidikan mengenai teknologi masa depan dan menginovasi ekosistem baharu yang lebih pintar dengan nilai tambah yang akan meningkatkan kualiti pengalaman pengguna, dan akhirnya membawa impak positif kepada kehidupan mereka.
Beliau berkata, ia menepati transformasi TM ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi (TechCo) yang berteraskan insan.
"Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan pemain global terkenal seperti ZTE untuk menginovasi teknologi PON generasi akan datang sejajar dengan trend global dan hala tuju teknologi," katanya dalam satu kenyataan.
Sharlene memeterai MoU itu bagi pihak TM R&D, manakala ZTE Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Steven Ge.
Sementara itu, Ge berkata, dengan perkhidmatan jalur lebar kediaman berkepantasan gigabit digunakan secara meluas di Malaysia pada masa ini dan rangkaian tetap berada dalam evolusi daripada GPON ke 10G PON, kerjasama ini datang pada masa yang terbaik.
"ZTE amat berbesar hati dengan peluang untuk bekerjasama dengan TM R&D bagi penyelidikan masa depan dalam teknologi PON generasi akan datang yang menyokong Digital Malaysia," tambah beliau.