Selasa, 4 Oktober 2022 | 2:11pm
Inisiatif JENDELA berjaya melepasi sasaran dalam usaha menyediakan liputan 4G lebih luas dan kualiti jalur lebar lebih baik -NSTP/Eizairi Shamsudin
Inisiatif JENDELA berjaya melepasi sasaran dalam usaha menyediakan liputan 4G lebih luas dan kualiti jalur lebar lebih baik -NSTP/Eizairi Shamsudin

Liputan jalur lebar mudah alih di Malaysia kini lebih pantas

KUALA LUMPUR: Purata kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat kepada 40.13 Mbps pada separuh pertama 2022, melepasi sasaran awal Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu 35 Mbps.

Penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli, berkata inisiatif JENDELA dilihat berada di landasan tepat selain berjaya melepasi beberapa sasaran lain dalam usaha menyediakan liputan 4G lebih luas dan kualiti jalur lebar lebih baik ketika peralihan negara kepada teknologi 5G.

Katanya, pelaksanaan perkhidmatan satelit dan 5G juga dipercepatkan kepada suku keempat 2022 berbanding sasaran awal Fasa 2 JENDELA dengan 893 menara telekomunikasi dipasang jalur lebar satelit untuk menyokong 5G membabitkan lokasi terpilih seperti Cyberjaya, Putrajaya dan Kuala Lumpur, sebelum diperluaskan ke bandar utama di seluruh negara.

"Pada suku kedua 2022, peserta industri telah melepasi sasaran pemilikan premis gentian fiber dengan Celcom mencapai tahap 126 peratus, diikuti Telekom Malaysia (TM) dengan 109 peratus, Maxis (107 peratus) dan TIME (104 peratus)," katanya dalam nota penyelidikan.

Ahmad Ramzani berkata, bagi menaik taraf stesen pangkalan, lima penyedia jalur lebar mudah alih telah menaik taraf keseluruhan 1,710 stesen atau 106.4 peratus melepasi sasaran asalnya.

"Kebanyakan penyedia perkhidmatan melepasi sasaran masing-masing seperti Celcom (108 peratus), Digi (106 peratus), Maxis (136 peratus) dan U Mobile (108 peratus).

"Begitu juga, empat penyedia perkhidmatan jalur lebar mudah alih utama iaitu Celcom (100 peratus), Digi (100 peratus), Maxis (110 peratus) dan U Mobile (140 peratus), masing-masing berjaya mencapai lebih daripada sasaran masing-masing untuk suku kedua 2022 dengan membina sejumlah 57 menara telekomunikasi 4G baharu atau 110 peratus daripada sasaran asalnya iaitu 52 menara," katanya.

Setakat separuh pertama 2022, sejumlah 7.2 juta premis kini memiliki akses kepada jalur lebar gentian, daripada sasaran setahun penuh 7.5 juta dan 95.6 peratus berbanding sasaran 2022 sebanyak 96.9 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada liputan 4G.

Sementara itu, Ahmad Ramzani berkata, keputusan muktamad mengenai 5G dijangka diperoleh tidak lama lagi.

"Selepas beberapa kelewatan, kami percaya empat daripada enam syarikat telekomunikasi dijangka menandatangani perjanjian," katanya.

Beliau berkata, komitmen kukuh daripada peserta industri dan pihak berkepentingan telah menyaksikan liputan mencecah 27 peratus daripada populasi dengan sasaran 37 peratus dijangka dicapai menjelang akhir tahun ini.

"Daripada pengalaman negara lain, kami menjangkakan harga perkhidmatan 5G akan lebih tinggi sedikit bagi meminimumkan kesan kos perbelanjaan," katanya.

Berita Harian X