Khamis, 8 September 2022 | 10:20pm
Apple melancarkan iPhone 14 dalam satu acara di Cupertino, California pada Rabu - Foto Reuters
Apple melancarkan iPhone 14 dalam satu acara di Cupertino, California pada Rabu - Foto Reuters

Penduduk Russia boleh beli iPhone 14

MOSCOW: Penduduk Russia berpeluang untuk membeli Apple iPhone 14 walaupun syarikat teknologi itu telah meninggalkan negara berkenaan susulan skim import selari Moscow, kata pegawai kanan kerajaan kepada agensi berita RIA Novosti, hari ini.

Russia mengumumkan skim itu pada Mac lalu apabila memberi kuasa kepada peruncit untuk mengimport produk dari luar negara tanpa kebenaran pemilik tanda dagang.

Ditanya sama ada iPhone baharu yang diperkenalkan oleh Apple pada Rabu akan diimport di bawah skim itu, Menteri Perdagangan dan Industri Russia, Denis Manturov berkata: "Mengapa tidak? Jika pengguna mahu membeli telefon sedemikian, ya. Akan ada peluang."

Apple menghentikan jualan produk baharu di Russia pada Mac lalu, seminggu selepas Russia menceroboh Ukraine, walaupun iPhone, MacBook dan barangan Apple lain masih ada di gedung-gedung negara itu apabila peruncit menghabis baki stok model lama dan mendapatkan peranti yang baru dikeluarkan menerusi skim import berkenaan.

Rangkaian mudah alih Russia, MTS, pagi ini telah pun menjual model baharu iPhone 14 melalui pra-tempahan.

Harga bermula daripada 84,990 rouble (AS$1,398) bagi versi 128GB.

MTS berkata, penghantaran akan mengambil masa sehingga 120 hari dan ia mengekalkan hak untuk membatalkan tempahan jika berdepan kesukaran mengimport produk berkenaan.

Apple tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan mendapatkan kenyataan.

Manturov, yang juga Timbalan Perdana Menteri, bulan lalu berkata bahawa skim itu, yang merangkumi produk Barat daripada kereta mewah hingga kereta, boleh mencecah AS$16 bilion tahun ini, bersamaan empat peratus daripada import Russia pada 2021.

-Reuters

Berita Harian X