Rabu, 7 September 2022 | 6:52pm
Apple bakal memperkenalkan rangkaian produk baharu pada acara ‘Far Out’ - Foto Reuters
Apple bakal memperkenalkan rangkaian produk baharu pada acara ‘Far Out’ - Foto Reuters

iPhone 14, Apple Watch Series 8 bakal dilancar awal pagi esok

BENGALURU: Apple Inc dijangka memperkenalkan produk baharu bagi iPhone, Watch Series 8 dan beberapa produk lain pada awal pagi esok, acara yang dinanti-nantikan di Wall Street dan ramai pelanggannya.

Acara dikenali 'Far Out', akan bermula pada jam 1700 GMT pada Rabu atau Khamis jam 1 pagi waktu Malaysia di Steve Jobs Theater, ibu pejabat Apple di Cupertino, California.

Ia bakal menjadi acara tertutup pertama syarikat itu sejak pandemik.

Berdasarkan laporan, beberapa pengumuman akan dibuat pada acara berkenaan termasuk pengenalan Apple iPhone 14, meskipun kebiasaannya model baharu dilancarkan pada September.

Telefon pintar itu dijangka hadir dengan kemas kini pada kamera, storan, reka bentuk dan sambungan rangkaian satelit.

Menurut laporan itu, versi iPhone 'mini' mungkin dihentikan.

Selain itu, pilihan harga dan pilihan pukal bagi produk utama Apple akan menjadi perhatian ekoran kadar inflasi tinggi ketika ini.

"Apple boleh memilih untuk menaikkan harga versi Pro dan membiarkan harga versi lebih rendah tidak berubah," kata Penganalisis BofA Securities, Wamsi Mohan.

Ketersambungan rangkaian satelit adalah antara ciri ujian kepada iPhone 14 sebelum pengeluaran besar-besaran, kata Penganalisis TF International Securities, Ming-Chi Kuo, individu yang terkenal dengan ramalan tepatnya berkaitan pelancaran produk Apple.

Ciri ini mungkin membolehkan pengguna menghantar pesanan kecemasan dalam situasi di mana mereka berada di kawasan tanpa rangkaian.

Selain iPhone, Apple juga dijangka memperkenalkan jam tangan pintarnya, Watch Series 8 yang dikatakan hadir dengan paparan lebih besar dan lebih banyak fungsi kesihatan termasuk penderia suhu badan.

Syarikat itu juga dijangka melancarkan versi Pro untuk produk itu.

Airpods Pro 2 juga mungkin menjadi barisan produk yang akan diperkenalkan. Ia dijangka hadir dengan kualiti bunyi dipertingkatkan dan lebih banyak penderia. Sarungnya juga dijangka kalis air dan peluh dengan sokongan pengecas tanpa wayar. Ada laporan mengatakan ia bakal hadir dengan port pengecas type-C.

-Reuters

Berita Harian X