Isnin, 5 September 2022 | 3:22pm
Fungsi ‘One-Tap Fuelling’ ciri baharu dalam aplikasi Setel
Fungsi ‘One-Tap Fuelling’ ciri baharu dalam aplikasi Setel

Isi petrol hanya dengan satu ketik melalui aplikasi Setel

KUALA LUMPUR: Setel menaik taraf pengalaman mengisi petrol untuk pengguna kenderaan di Malaysia dengan fungsi 'One-Tap Fuelling'.

Fungsi itu membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol hanya dengan satu ketik di mana-mana stesen PETRONAS seluruh negara, lalu mengisi petrol dan meraih mata ganjaran Mesra.

Penyelesaian yang pertama seumpamanya ini disediakan sekarang untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara dan ketersediaannya akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang dua bulan yang akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan, berkata pihaknya sedang giat menginovasi dan membangunkan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan pengguna yang kian berubah, terutamanya dalam fasa endemik ini apabila rakyat Malaysia lebih kerap bergerak.

"Sejak empat tahun yang lalu, pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih memudahkan di stesen-stesen PETRONAS.

"Kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel.

"Pengguna tidak perlu lagi mengeluarkan dompet atau kad untuk mengisi petrol dan memperoleh mata ganjaran. Sesungguhnya, kami memahami kepentingan sumber masa bagi pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman 'Dah Setel So Far' masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: "I want One-Tap Fuelling now", di samping tag @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video yang paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman menggunakan fungsi 'One-Tap Fuelling', berserta dengan tag @setel dan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Melalui fungsi itu, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrol yang ingin diisi, mengikut liter atau tangki penuh, di laman 'Keutamaan' semasa mengkonfigurasi fungsi 'One- Tap Fuelling'.

Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing, termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.

Berita Harian X