Khamis, 15 September 2022 | 2:29pm
AIR 3268 akan menjadikan pelancaran 5G di Malaysia mampan dan lestari - Foto Reuters
AIR 3268 akan menjadikan pelancaran 5G di Malaysia mampan dan lestari - Foto Reuters

Rangkaian 5G Malaysia cekap penggunaan tenaga

KUALA LUMPUR: Rangkaian 5G Malaysia yang digunakan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) akan menjadi lebih cekap tenaga kerana menggunakan radio penjimat tenaga AIR 3268 baharu daripada Ericsson yang mampu mengurangkan penggunaan kuasa pada peringkat rangkaian.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata teknologi itu adalah yang pertama di Asia yang menggunakan radio ultra-ringan terbaru Ericsson, yang 18 peratus lebih cekap tenaga daripada radio generasi sebelumnya.

"Ia akan jadi lebih cekap tenaga apabila memperkenalkan 5G pada frekuensi jalur pertengahan. AIR 3268 menyokong seni bina Massive MIMO yang unik dan keupayaan Uplink Booster Ericsson yang memberikan prestasi rangkaian terkemuka," katanya.

Hagerbro berkata, AIR 3268 adalah Massive MIMO Radion yang paling ringan dan terkecil dalam industri serta direka untuk jalur pertengahan prestasi 5G Massive MIMO.

Beliau berkata, ia berupaya menyampaikan faedah kesederhanaan penggunaan dan kecekapan tenaga yang dipertingkatkan.

Katanya, dengan kuasa '=output 200W, 32 transceiver dan penyejukan pasif, radio itu 40 peratus kurang berat daripada generasi terdahulu, menjadikan pemasangannya mudah pada menara, bumbung, tiang dan dinding.

"AIR 3268 akan mengurangkan kos operasi dan kesan ke atas persekitaran. Radio generasi baharu yang akan digunakan di seluruh Malaysia oleh DNB akan menjadi lebih cekap tenaga.

"Dengan itu, ia dapat memastikan lebih banyak pelancaran 5G yang mampan dan lestari," katanya.

AIR 3268 direka dengan Ericsson Silicon, menyediakan anggaran saluran masa nyata dan pembentukan pancaran ultra-tepat yang meningkatkan liputan dan pengalaman pengguna.

Dengan pengurangan saiz dan berat, AIR 3268 juga akan memudahkan naik taraf tapak walaupun di lokasi yang mempunya bilangan antena terhad.

Berita Harian X