Isnin, 4 April 2022 | 5:17pm
Syarikat p-hailing NUC
Syarikat p-hailing NUC

Aplikasi NUC sedia khidmat e-panggilan trak tunda

KUALA LUMPUR: Syarikat p-hailing (khidmat penghantaran makanan) dan e-hailing tempatan, NUC kini menawarkan perkhidmatan e-panggilan trak tunda bermula 1 April.

Menurut Ketua Pegawai Teknikal dan pengasas bersama NUC, Farouk Rizal Mat Nori, perkhidmatan tambahan ini dapat membantu orang ramai mendapatkan tempahan trak tunda dengan mudah, cepat dan selamat.

Menerusi aplikasi itu, harga perkhidmatan serta identiti pemandu trak tunda akan tertera sebaik memohon tempahan dan pergerakkan pemandu trak tunda turut dipaparkan di dalam aplikasi berkenaan.

"Idea ini dicetuskan kira-kira tiga bulan yang lalu, hasil perkongsian pemandu trak tunda yang menyatakan hasrat untuk mengembangkan perkhidmatan mereka dalam sektor pendigitalan, dan saya lihat ia merupakan satu potensi yang bagus.

"Buat masa sekarang, perkhidmatan e-panggilan trak tunda lebih tertumpu di bahagian semenanjung mungkin pada tahun depan kita boleh kembangkannya ke Sabah dan Sarawak," katanya kepada Bernama, pada program pelancaran perkhidmatan itu, baru-baru ini.

Farouk Rizal berkata, seramai 40 pemandu trak tunda telah berdaftar di bawah aplikasi itu setakat 1 April dan beliau mensasarkan 1,000 pemandu lagi di seluruh Semenanjung pada tahun ini.

Pada waktu ini hanya tiga kategori trak tunda yang ditawarkan iaitu jenis 'carrier', satu tan dan tiga tan.

Selain perkhidmatan e-panggilan trak tunda, aplikasi NUC yang telah mula beroperasi sejak 2018 turut menawarkan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

-BERNAMA

Berita Harian X