Rabu, 23 March 2022 | 1:30pm
Ketua Segmen Korporat Maxis, Wan Ahmad Kamal Wan Halim (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Teladan Setia, Francis Sia (tiga dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian antara kedua-dua syarikat - Foto ihsan Maxis
Ketua Segmen Korporat Maxis, Wan Ahmad Kamal Wan Halim (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Teladan Setia, Francis Sia (tiga dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian antara kedua-dua syarikat - Foto ihsan Maxis

Maxis bekal jalur lebar projek rumah Teladan Setia

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Teladan Setia Sdn Bhd, pemaju hartanah terbesar di Melaka untuk menawarkan sambungan fiber jalur lebar berkelajuan tinggi di Taman Bertam Heights.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian bersama yang dimeterai kedua-dua pihak, Maxis akan mereka bentuk, membekal, memasang, menguji dan mentauliahkan infrastruktur perkhidmatan tetap kepada penduduk taman berkenaan.

Maxis bakal menghubungkan lebih 2,100 rumah dalam pembangunan berkenaan, dengan potensi sehingga 1,000 lagi premis di Melaka pada masa akan datang.

Perkongsian itu juga adalah sebahagian daripada kerjasama berterusan Maxis dengan pemaju hartanah negara dalam menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi serta penyelesaian kesalinghubungan.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, berkata pihaknya berbesar hati dilantik oleh Teladan Setia untuk menyediakan kesalinghubungan kepada penduduk hartanah mereka.

Beliau berkata, jalur lebar fiber berkelajuan tinggi mengubah cara orang berkomunikasi dan mengakses perkhidmatan semasa dan juga masa hadapan seperti keselamatan, perbankan, hiburan dan banyak lagi.

"Melalui rangkaian fiber kami, keupayaan dan pilihan pelan fiber rumah yang menarik, kami dapat membuka kemungkinan untuk perkhidmatan digital ini, disokong oleh pengalaman kesalinghubungan yang hebat.

"Ini adalah contoh komitmen kami untuk berkhidmat demi rakyat Malaysia dengan rangkaian menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Eksekutif Teladan Setia, Francis Sia, berkata kerjasama strategik pemaju itu bersama Maxis adalah langkah penting dalam membangunkan kawasan perumahan dan perbandaran.

Beliau berkata, permintaan rumah yang dilengkapi kemudahan semakin tinggi sejak pandemik, dan pihaknya ingin memastikan kediaman ditawarkan dilengkapi dengan penyelesaian kesalinghubungan terbaik.

"Rekod prestasi Maxis dalam infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan bakal menambah nilai kepada perbandaran dan gaya hidup digital pelanggan kami," katanya.

Berita Harian X