Khamis, 17 March 2022 | 12:51pm
Telekom Malaysia Bhd (TM)
Telekom Malaysia Bhd (TM)

TM sedia tawar 5G untuk pelanggan unifi, TM ONE

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) bersedia untuk menawarkan produk serta penyelesaian berkeupayaan 5G kepada pelanggan unifi dan TM ONE.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu dalam satu kenyataan berkata, ia sedang melaksanakan ujian rangkaian dan pelanggan dalaman untuk memberikan tawaran konvergens fiber yang dipertingkatkan bagi perkhidmatan 5G kepada pelanggan kedua-dua perkhidmatan itu.

"Ini bergantung kepada perjanjian borong muktamad bersama Digital Nasional Bhd (DNB)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

TM berkata, ia menyambut baik dan menyokong keputusan kerajaan untuk meneruskan model rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan 5G di negara ini.

"Kami percaya ia mencerminkan aspirasi nasional bagi digital Malaysia yang inklusif," katanya.

TM berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung pelaksanaan 5G itu membolehkan syarikat telekomunikasi (telco) melabur dan membangunkan produk serta penyelesaian 5G inovatif kepada pengguna akhir.

Ia berkata, DNB boleh memberikan tumpuan kepada membina rangkaian bagi memberikan liputan dan kapasiti lebih pantas pada kos yang cekap.

"TM akan terus menyediakan sokongan fiber seperti komitmen dalam pemeteraian perjanjian bersama DNB pada 16 Disember 2021.

"Ini satu lagi contoh kerjasama awam-swasta dalam pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi yang penting bagi meningkatkan pembangunan ekonomi dan menambah baik kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X