Rabu, 16 March 2022 | 10:02pm
Pengendali rangkaian mudah alih yakin 5G akan dibina berdasarkan prinsip yang telus, mampan dan selamat - Foto Reuters
Pengendali rangkaian mudah alih yakin 5G akan dibina berdasarkan prinsip yang telus, mampan dan selamat - Foto Reuters

Pengendali mudah alih komited realisasikan 5G

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai model Rangkaian Borong Tunggal (SWN), serta tawaran pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd, MNO komited untuk merealisasikan hasrat digital negara dan percaya dengan faedah yang akan dibawa oleh 5G kepada perniagaan, pelanggan dan kerajaan dalam memperkukuh daya saing Malaysia di rantau ini.

"Kami masih memerlukan butiran lanjut untuk proses pelaksanaan model itu, termasuk tawaran pegangan saham yang dicadangkan dan proses transaksi.

"Kami percaya bahawa pelancaran 5G untuk Malaysia akan dibina berdasarkan prinsip yang telus, mampan dan selamat," katanya.

Kenyataan itu menambah, MNO berharap dapat mengusahakan langkah seterusnya untuk membina infrastruktur komunikasi yang teguh dan kalis masa hadapan untuk Malaysia.

Berita Harian X