Rabu, 16 March 2022 | 8:28pm
Rangkaian 5G akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelabur global - Foto Reuters
Rangkaian 5G akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelabur global - Foto Reuters

Program perintis 5G dilanjut sehingga akhir Jun

KUALA LUMPUR: Digital Nasional Bhd (DNB) akan melanjutkan tempoh tamat bagi program perintis komersial 5G yang sedang berjalan ketika ini kepada 30 Jun 2022 daripada 31 Mac 2022.

Lanjutan tempoh program perintis itu adalah untuk memudahkan peralihan lancar syarikat telekomunikasi (telco) yang masih belum mendaftar perkhidmatan 5G.

DNB dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan program perintis yang bermula 15 Disember lalu adalah untuk membolehkan telco mengakses rangkaian tanpa caj, dalam menyediakan pengalaman 5G kepada pengguna akhir mereka.

DNB berkata, pihaknya juga mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengekalkan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) 5G bagi penggunaan 5G nasional, dengan tawaran kepada telco untuk melanggan kepentingan ekuiti dalam DNB.

Ia berkata, pihaknya gembira kerajaan mengesahkan bahawa model pemulihan kos diterajui bekalan SWN yang dilaksanakan oleh DNB adalah paling sesuai untuk mempercepatkan penggunaan rangkaian 5G kebangsaan dan menggalakkan penggunaannya oleh rakyat.

"Ini adalah selaras dengan aspirasi ekonomi digital negara dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelabur global.

"Kami berharap dapat membabitkan diri dengan telco untuk membincangkan dan bersetuju dengan semua aspek yang berkaitan cadangan penyertaan ekuiti dalam DNB," katanya.

DNB berkata, ia akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan telco untuk menyampaikan akses secara adil, sama rata dan berpatutan kepada perkhidmatan 5G berkualiti untuk manfaat rakyat, dengan objektif untuk mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2024.

Berita Harian X