KUALA LUMPUR: YTL Communications Sdn Bhd menyeru agar pengendali rangkaian mudah alih menyokong visi kerajaan untuk melaksanakan teknologi generasi kelima (5G) ke seluruh negara menjelang 2024 dan pada kos terendah kepada rakyat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusannya, Datuk Yeoh Seok Hong, berkata pelaksanaan rangkaian 5G akan menyediakan tulang belakang digital yang kukuh untuk Malaysia dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta pendigitalan ekonomi.
Berikutan pengumuman kerajaan hari ini bahawa model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) akan dikekalkan bagi pelancaran 5G di dalam negara, beliau berkata, YTL Communications menegaskan semula komitmennya untuk menyokong kerajaan melaksanakan rangkaian mudah alih di negara ini.
"YTL Communications menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mengekalkan model SWN dan membenarkan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengambil bahagian sebagai pemegang saham dalam Digital Nasional Bhd.
"Sebagai 'First-To-5G' di Malaysia, YTL Communications melihat keterujaan dan penggunaan perkhidmatan 5G kami yang luar biasa," katanya.
Seok Hong juga berkata, seiring dengan perkembangan rangkaian 5G, YTL Communications akan terus memainkan peranannya dalam membangunkan kesalinghubungan 5G kepada setiap rakyat Malaysia.
"Dengan kelajuan purata 600Mbps yang dialami oleh pengguna, kami berbangga dapat menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabangsa kepada pelanggan," katanya.
-BERNAMA