Khamis, 6 Januari 2022 | 12:09pm
Samsung Galaxy S21 FE 5G
Samsung Galaxy S21 FE 5G
Samsung Galaxy S21 FE 5G
Samsung Galaxy S21 FE 5G

Samsung perkenal Galaxy S21 FE 5G di Malaysia

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics memperkenalkan telefon pintar terbaharunya, Galaxy S21 FE 5G bagi menyediakan kemudahan peranti yang menyokong peralihan ke arah teknologi 5G di negara ini.

Galaxy S21 FE 5G adalah model terbaharu dalam siri Galaxy S21 dan dilengkapi dengan beberapa aspek Galaxy S21 yang paling digemari pengguna termasuk reka bentuk yang menarik, prestasi berkuasa tinggi, kamera pro-gred dan ketersambungan ekosistem yang lancar.

Model baharu itu mempunyai cip Exynos 2100 serta memori 8GB RAM dan pilihan tri-kamera belakang serta kamera swafoto 32 megapiksel.

Ia turut dijana dengan Android 12, selain antara muka OneUI 4.0.

Galaxy S21 FE 5G sudah boleh dimiliki oleh pengguna di Malaysia dengan melakukan pra tempahan bermula hari ini sehingga 10 Januari 2021.

Tempahan boleh dilakukan melalui rangkaian kedai Samsung Experience, pengedar sah Samsung serta menerusi platform online Samsung Malaysia.

Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan bermula daripada RM2,899 untuk model 128GB dan RM3,099 untuk model 256GB.

Samsung turut memberikan diskaun bagi e-baucar sebanyak RM350 selain perlindungan Samsung Care+ selama satu tahun dan perlindungan kerosakan bernilai RM220.

Presiden Samsung Malaysia Electronics, Edward Han, berkata sebagai peneraju peranti mudah alih global, pengeluar telefon pintar terkemuka dunia itu sentiasa memberi fokus kepada inovasi yang berterusan.

Beliau berkata, membawa inovasi mudah alih terkini kepada lebih ramai orang adalah keutamaan Samsung sejak dahulu lagi.

"Inovasi dan memenuhi kehendak pengguna sudah lama menjadi tumpuan untuk Samsung. Kami memahami kesan inovasi mudah alih terhadap hubungan manusia.

"Justeru itu, Samsung sentiasa menumpukan kepada inovasi dan kelebihan dalam telefon pintar yang memenuhi keperluan pengguna masa kini.

"Sambutan yang luar biasa terhadap barisan Galaxy S20 FE dan Galaxy S21 juga menjadi faktor kumpulan memperkenalkan model terbaharu S21 FE 5G, melengkapkannya dengan ciri premium utama," katanya.

Han berkata, pengguna Samsung adalah tulang belakang utama kepada kumpulan, yang memberikan hala tuju dan pendapat merentas kumpulan fokus, tinjauan global dan sesi maklum balas umum.

Beliau berkata, Samsung menghargai kepentingan memenuhi keperluan mereka dan dari sinilah inovasi bertaraf dunia dipenuhi dengan ciri kegemaran pengguna untuk membentuk pakej telefon pintar yang komprehensif.

Katanya, telefon pintar berdasarkan kehendak pengguna adalah penting untuk membolehkan inisiatif dua hala yang unik sekaligus mempengaruhi secara langsung hasil sesuatu produk.

"Ia seterusnya mewujudkan persekitaran dinamik dalam perkongsian berterusan dan penambahbaikan untuk memastikan setiap peranti serasi dengan kepelbagaian peminat Samsung," katanya.

Berita Harian X