Jumaat, 24 Disember 2021 | 2:17pm
Penggunaan teknologi 5G di Malaysia berkemungkinan akan lebih perlahan -NSTP/Owee Ah Chun
Penggunaan teknologi 5G di Malaysia berkemungkinan akan lebih perlahan -NSTP/Owee Ah Chun

Pelaksanaan 5G Malaysia dijangka ambil masa lebih lama

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan 5G secara menyeluruh di Malaysia mungkin akan mengambil masa yang lebih lama daripada perancangan awal, menyebabkan kelewatan sasaran negara untuk menjadi antara peneraju teknologi itu dalam tempoh lima tahun akan datang, demikian menurut Kenanga Research.

Penganalisisnya, Lim Khai Xhiang, berkata jangkaan kelewatan itu adalah berdasarkan kepada perbincangan yang masih lagi berjalan antara syarikat tujuan khas (SPV) pelaksanaan 5G, Digital Nasional Bhd (DNB) dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

Beliau berkata, perbincangan DNB dan MNO itu adalah berhubung pelancaran 5G Malaysia, di bawah pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Rundingan masih berjalan, kemungkinan berlaku lebih banyak kelewatan. Walaupun ada harapan MNO, DNB dan MCMC boleh mencapai kata sepakat serta menandatangani perjanjian pada suku pertama 2022, kami masih kekal berhati-hati dan percaya mungkin terdapat kelewatan selanjutnya," katanya dalam satu nota.

Khai Xhiang berkata, firma penyelidikan itu juga mendapati penggunaan teknologi 5G di Malaysia berkemungkinan akan lebih perlahan, didorong oleh dua faktor.

Faktor pertama, katanya hanya sekitar 10 peratus daripada jumlah pelanggan mudah alih menggunakan perkhidmatan Unifi Mobile milik Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YES milik YTL Communications Sdn Bhd.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa pengguna masih tidak dapat melihat keberkesanan sambungan 5G, sekali gus memberikan hanya sedikit insentif untuk pengguna lain beralih kepada dua pengendali itu.

"Kami meramalkan perubahan minimum dalam beberapa bulan akan datang jika Unifi Mobile dan YES kekal sebagai pengendali perkhidmatan 5G," katanya.

DNB sebelum ini mengumumkan TM dan YTL menjadi dua pengendali telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan 5G di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Khai Xhiang berkata, faktor kedua yang menyebabkan penggunaan 5G yang perlahan pula adalah tidak semua peranti ketika ini dapat menggunakan teknologi berkenaan.

"Terdapat beberapa jenama utama telefon pintar seperti iPhone masih belum serasi dengan rangkaian 5G DNB kerana memerlukan pensijilan peranti dan kemas kini perisian daripada pengeluar peranti untuk membolehkan sambungan ke rangkaian itu," katanya.

Beliau menambah, berbanding dengan rakan serantau di Asia Tenggara dan Asia Timur, Malaysia ketinggalan dalam pelancaran 5G memandangkan kebanyakan ekonomi serantau sudah melancarkan perkhidmatan itu pada 2019 dan 2020.

"Langkah dua pengendali iaitu Unifi Mobile dan YES menjadi MNO pertama mendaftar masuk ke dalam rangkaian borong tunggal (SWN) DNB menyebabkan MNO utama lain seperti Celcom, Digi, Maxis dan Umobile tidak tergesa-gesa untuk beralih kepada perkhidmatan itu," katanya.

Berita Harian X