Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:44pm
Rangkaian 5G di Malaysia akan dikendalikan menggunakan sebahagian besar sumber tempatan - Foto hiasan
Rangkaian 5G di Malaysia akan dikendalikan menggunakan sebahagian besar sumber tempatan - Foto hiasan

Rangkaian 5G di Malaysia dijamin mampu milik

KUALA LUMPUR: Ericsson memberi jaminan kos terendah setiap gigabait (GB) bagi rangkaian 5G menerusi penggunaan penyelesaian canggih, sekali gus membolehkan rakyat di negara ini menikmati teknologi itu pada kadar mampu milik.

Penyedia peralatan rangkaian 5G (NEP) yang dilantik Digital Nasional Bhd (DNB) Julai lalu itu memanfaatkan penyelesaian canggih seperti rangkaian teras pelbagai pengendali (MOCN), yang menggunakan ciri Pemisahan Sumber Radio 5G supaya rangkaian capaian radio boleh dikongsi oleh enam pengendali.

Pada masa sama, penggunaan MOCN itu juga membenarkan setiap pengendali mempunyai teras mereka sendiri untuk mencipta pembezaan.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro, berkata rangkaian 5G di Malaysia akan dikendalikan menggunakan sebahagian besar sumber tempatan dan alatan terkini serta kecerdasan buatan (AI).

"Ini akan menjamin kos terendah bagi setiap GB dan membolehkan 5G mampu milik untuk rakyat Malaysia serta pengalaman pelanggan bertaraf dunia.

"Dengan kelajuan yang lebih tinggi, kependaman sangat rendah dan kebolehpercayaan, rangkaian 5G akan memastikan DNB dapat menyampaikan rangkaian dan pengalaman 5G yang terkemuka dan bertaraf dunia untuk pengguna di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Ericsson memanfaatkan kepimpinan teknologinya dan pengalaman penggunaan 5G global untuk membina rangkaian 5G bertaraf dunia hujung ke hujung di Malaysia.

Frost Radar dan Gartner Magic Quadrant menobatkan Ericsson sebagai peneraju dalam 5G.

Hägerbro berkata, terdapat beberapa faktor yang ditangani Ericsson dan DNB bagi membolehkan 5G berjaya di Malaysia iaitu dari segi kemampuan, pengalaman pelanggan dan keselamatan.

Beliau berkata, keselamatan adalah salah satu asas Ericsson dan rangkaian 5G yang dibangunkannya di Malaysia adalah boleh dipercayai, berdaya tahan dan selamat sejak direka dari hari pertama.

"Bagi menyampaikan nilai penuh 5G ke Malaysia, kami juga akan membawa rakan kongsi merentas ekosistem untuk bekerjasama, berinovasi dan optimum idea.

"Kami percaya 5G adalah lebih daripada sekadar sambungan. Ia akan menjadi platform terpenting untuk inovasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Ericsson Asia Tenggara, Oceania dan India, Nunzio Mirtillo, berkata Ericsson komited sepenuhnya untuk menyokong DNB untuk projek 5G di Malaysia kerana pihaknya percaya dengan nilai yang akan disampaikan kepada Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan bahawa rangkaian DNB bukan saja memaparkan pengalaman 5G di rantau ini, tetapi juga sebagai contoh cemerlang mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh inovasi teknologi.

Berita Harian X