Khamis, 16 Disember 2021 | 7:38pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar (kanan, depan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Augustus Ralph Marshall pada majlis memeterai perjanjian perkhidmatan sewaan fiber antara TM dan DNB, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar (kanan, depan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Augustus Ralph Marshall pada majlis memeterai perjanjian perkhidmatan sewaan fiber antara TM dan DNB, hari ini.

TM, DNB meterai perjanjian percepat pelaksanaan 5G

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini memeterai perjanjian perkhidmatan sewaan fiber dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G milik kerajaan di seluruh negara.

Perjanjian dengan nilai kontrak berjumlah RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris manakala DNB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Augustus Ralph Marshall dan Ketua Pegawai Operasi, Dushyanthan Vaithiyanathan.

Imri berkata, perjanjian pada hari ini mengukuhkan aspirasi kerajaan dalam memperluas infrastruktur dan rangkaian digital di Malaysia.

"Kami sentiasa menyokong kuat usaha perkongsian infrastruktur dalam penyediaan perkhidmatan sambungan dan penyelesaian menyeluruh, bagi membolehkan penawaran penyelesaian dan perkhidmatan tanpa wayar terbaik," katanya dalam satu kenyataan.

DNB akan boleh memanfaatkan infrastruktur fiber dan rangkaian TM yang meluas serta melanggan penyelesaian Fronthaul dan Backhaul RAN-to-Edge 5G TM bagi penyediaan sambungan fiber, sekali gus membolehkan DNB menawarkan perkhidmatan 5G di seluruh negara.

Di bawah perjanjian itu, TM akan menyediakan DNB dengan perkhidmatan sewaan fiber 5G bagi sambungan antara tapak mudah alih dan nod 5G milik DNB, menggunakan rangkaian kabel fiber domestik TM sepanjang lebih 640,000 kilometer (km) seluruh negara.

Sebelum ini, TM bersama-sama penyedia fiber lain di Malaysia mengambil bahagian dalam proses Permohonan Sebut Harga (RFQ) Sewaan Fiber 5G yang dilakukan oleh DNB pada Jun lalu.

Mengulas lanjut, Imri berkata sebagai rakan terpilih DNB dalam melaksanakan pelan rangkaian 5G kerajaan di Malaysia, termeterainya Perjanjian Fiber ini adalah bukti teknologi rangkaian termaju dan keupayaan tenaga kerja TM dalam membawakan penyelesaian fiber ke seluruh negara.

"Bagi menjayakan misi ini, adalah penting untuk kami memastikan rangkaian TM kekal mantap demi menyokong keperluan 5G pada masa akan datang dan memacu inovasi teknologi di Malaysia.

"Dalam membawakan sambungan fiber untuk rangkaian 5G DNB, ekosistem vendor dan pembekal telekomunikasi tempatan juga bakal mendapat manfaat, dalam bidang seperti perkhidmatan kejuruteraan, pembekalan fiber, aksesori, tiang, lurang (manhole) dan peralatan premis.

"Berdasarkan pelaksanaan fiber TM pada masa ini, kami menjangkakan lebih 70 peratus akan membabitkan tenaga kerja dan memberi manfaat kepada syarikat Bumiputera dan tempatan," katanya.

Beliau menambah, TM turut teruja untuk memanfaatkan rangkaian 5G DNB bagi menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian 5G kepada pelanggan kediaman, PKS, perusahaan dan sektor awam.

"Dengan pelancaran perkhidmatan rangkaian 5G oleh DNB kelmarin, kami akan boleh menguji rangkaian 5G dan menawarkan perkhidmatan pada peringkat percubaan di kawasan terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya," katanya.

Berita Harian X