Isnin, 6 Disember 2021 | 12:19pm
Selangkah Wallet membolehkan peniaga serta pelanggan menikmati pembayaran tanpa sentuh.
Selangkah Wallet membolehkan peniaga serta pelanggan menikmati pembayaran tanpa sentuh.

Aplikasi Selangkah sedia khidmat e-dompet

KUALA LUMPUR: Platform teknologi kesihatan, Selangkah bekerjasama dengan Kiplepay Sdn Bhd untuk melancarkan Selangkah Wallet di aplikasi mudah alihnya yang membolehkan peniaga serta pelanggan menikmati pembayaran tanpa sentuh dan tanpa tunai.

Pelancaran adalah selaras dengan matlamat Selangkah untuk meneraju inisiatif ke arah negara tanpa tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangkah, Tengku Iesta Tengku Alaudin, berkata pihaknya komited untuk memberikan pengalaman yang selamat dan dipercayai kepada pengguna.

"Justeru, pelancaran Selangkah Wallet membolehkan kami memainkan peranan baharu dalam ekosistem tanpa sentuh di samping mencipta platform yang lebih selamat serta efektif untuk masyarakat secara amnya.

"Selangkah akan terus menambah baik platform digital bersepadu kami yang direka untuk masyarakat. Jadi, nantikan lebih banyak lagi ciri serta perkhidmatan yang akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kiplepay, Ricky Lew, berkata sebagai peneraju teknologi yang berada dalam landskap teknologi kewangan Malaysia selama lebih dua dekad, pihaknya berada dalam kedudukan untuk memperkasakan masyarakat dan membuat perubahan menerusi penyelesaian.

"Dengan kepakaran dalam pembayaran digital, kami berhasrat untuk meneruskan usaha menyokong masyarakat Malaysia supaya mereka mudah menyesuaikan diri dan berdaya maju dalam dunia yang sedang berkembang secara digital ini," katanya.

Bersempena dengan musim perayaan akhir tahun, Selangkah juga bekerjasama dengan platform kreatif RIUH sebagai rakan kongsi eksklusif e-dompet untuk acara 'RIUH Christmas Tropicola 2021', yang berlangsung pada 4 dan 5 Disember lalu di Sentul Depot, Kuala Lumpur.

Seramai 10,000 pengguna pertama Selangkah Wallet dapat menebus satu RM5 baucar diskaun untuk digunakan di acara dua hari itu.

Selangkah Wallet dikuasakan oleh Kiple, anak syarikat Green Packet Bhd yang menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran QR, tambah nilai kredit, pemindahan kredit, tambah nilai mudah alih dan pembayaran bil.

Aplikasi Selangkah boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery.

Berita Harian X