Ahad, 5 Disember 2021 | 8:03pm
VR Universal Langkawi (VRUL)
VR Universal Langkawi (VRUL)

VRUL taman tema realiti maya pertama di Langkawi

LANGKAWI: RFK Technologies Sdn Bhd (RFK) melancarkan VR Universal Langkawi (VRUL), taman tema realiti maya pertama di Pulau Langkawi, Kedah.

Taman tema itu menawarkan 12 daya tarikan unik serta lebih daripada 100 pelbagai kandungan permainan yang memberi pengunjung peluang untuk menikmati dan menyelami pengalaman berhibur dengan menggunakan teknologi 'Virtual Reality' (VR) dan 'Augmented Reality' (AR).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar, berkata usaha yang dijalankan oleh RFK itu mampu mempertingkatkan minat bidang VR dan AR dalam sektor pendidikan negara selain daripada menawarkan peluang pembangunan industri pelancongan pendidikan hiburan (edutainment).

"Perkembangan VR dan AR juga dapat dilihat melalui pembabitan studio dan syarikat pemula tempatan yang membangunkan permainan video untuk syarikat-syarikat antarabangsa dari Taiwan, Jepun dan China.

"Melihat kepada perkembangan yang positif ini, kerajaan melalui MEDAC mewujudkan beberapa 'game incubators' yang memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengeksperimen pelbagai kit pembangunan VR dan AR," katanya pada majlis pelancaran taman tema itu hari ini.

Turut hadir, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Pengerusi Eksekutif RFK Technologies, Datuk Rosni Zahari.

Mengulas lanjut, Noh berkata pembabitan SME Bank sebagai penyedia kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat kepada RFK untuk projek pembangunan VRUL adalah satu contoh MEDAC menjalankan tugas membantu negara mencapai kemakmuran dan pembangunan ekonomi yang disasarkan.

Sementara itu Rosni berkata, dengan bantuan daripada MEDAC khususnya SME Bank, VRUL berjaya mewujudkan taman tema virtual realiti yang terulung bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

Ini kerana, katanya, VRUL adalah satu-satunya 100 peratus taman tema VR yang mempunyai 'theming' di setiap tarikan.

"Di VRUL juga terdapat permainan VR Mortal Blitz Free-Roaming didalam kubah yang pertama didunia. VRUL adalah antara empat syarikat di dunia yang dilesenkan untuk tarikan Beat Saber oleh pemegang lesen iaitu Facebook.

"Manakala, tarikan VR Gyro juga menjadi kebanggaan negara kerana ia daya tarikan ketiga di dunia selepas Korea dan Dubai. Dengan teknologi berasaskan 'Artificial Intelligence' (AI) dan 'Robotic', VRUL kini berjaya membawa teknologi digital terkini dunia ke Malaysia yang pastinya dapat di munafaatkan oleh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda," katanya.

Beliau menambah, VRUL berhasrat untuk membuka Taman Tema VR Universal di seluruh negara bermula dengan Kuala Lumpur pada pertengahan 2022 secara francais dengan kerjasama MEDAC serta agensi-agensi di bawahnya.

Berita Harian X