Selasa, 29 September 2020 | 3:51pm
Enhance Track Sdn Bhd dan NanoMalaysia Bhd akan mengkomersialkan pengecas tanpa wayar nanoteknologi pertama Malaysia, Malaysia Energy Transmission Technology (METT) - Foto hiasan
Enhance Track Sdn Bhd dan NanoMalaysia Bhd akan mengkomersialkan pengecas tanpa wayar nanoteknologi pertama Malaysia, Malaysia Energy Transmission Technology (METT) - Foto hiasan

Pengecas tanpa wayar nanoteknologi pertama Malaysia akan dikomersial

KUALA LUMPUR: Enhance Track Sdn Bhd dan NanoMalaysia Bhd akan mengkomersialkan pengecas tanpa wayar nanoteknologi pertama Malaysia, Malaysia Energy Transmission Technology (METT), dengan sasaran jualan bernilai RM1.9 bilion dalam tempoh lima tahun.

METT berasaskan kuasa 5V berkeupayaan mengecas tanpa sentuhan pada jarak beberapa meter untuk peranti mudah alih selain boleh digunakan untuk semua jenis telefon mudah alih dan tablet.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad, berkata METT berpotensi digunakan dalam sektor ekonomi digital dan diharap dapat menggalakkan pembangunan penyelesaian nanoteknologi lain yang berkaitan.

"Ini selaras dengan aspirasi Industri 4.0 Malaysia. Pengecas tanpa wayar adalah inovasi berimpak tinggi yang mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam amalan teknologi hijau pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada pelancaran METT yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

METT dijangka memasuki pasaran menjelang pertengahan 2021.

Rezal Khairi berkata, METT akan dikilangkan di Malaysia dengan kerjasama rakan yang akan dikenal pasti.

Operasi pembuatan METT dijangka mewujudkan 2,800 peluang pekerjaan khususnya untuk mereka yang memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

METT yang berfungsi pada julat gelombang frekuensi radio, terdiri daripada komponen penghantar dan penerima.

Komponen penerima dijangka dijual pada harga di antara RM300 dengan RM500 manakala komponen penghantar pada harga RM1,000 hingga RM2,000.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya berkata krisis COVID-19 mendedahkan jurang dalam pemacu teknologi negara dan menunjukkan pelaburan amat diperlukan dalam bidang yang tepat.

"Sekiranya wujud keraguan mengenainya, saya rasa krisis pandemik COVID-19 ini telah membuktikan betapa pentingnya penerimagunaan bukan hanya teknologi malah jenis teknologi yang tepat," katanya.

Beliau berkata, menerusi NanoMalaysia, MOSTI komited menyediakan sokongan kepada syarikat teknologi tinggi tempatan seperti Enhancr Track untuk memiliki teknologi inovatif daripada peringkat pembangunan produk hingga fasa pengkomersialan.

"Kita sepatutnya teruja menyaksikan sejumlah inovasi baharu yang akan dibangunkan dan dikomersialkan oleh NanoMalaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan MOSTi mahu merancakkan kembali industri Malaysia dalam usaha menjadi negara yang sentiasa menyasarkan kedudukan sebagai peneraju teknologi," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X