Rabu, 12 Ogos 2020 | 9:55pm
Huawei Mobile Services (HMS)
Huawei Mobile Services (HMS)

700 juta guna ekosistem Huawei di seluruh dunia

KUALA LUMPUR: Ekosistem aplikasi Huawei Mobile Services (HMS) semakin diterima ramai pengguna termasuk di Malaysia apabila jumlah pengguna telefon mudah alih aktif bulanannya meningkat 32 peratus kepada 700 juta pada separuh pertama 2020 daripada 530 juta pada separuh pertama 2019.

Naib Presiden Perkhidmatan Awan Pengguna, Huawei Consumer Business Group, Eric Tan, selain itu pembangun aplikasi yang berdaftar dengannya juga meningkat daripada 910,000 kepada 1.6 juta dalam tempoh sama, peningkatan sebanyak 76 peratus.

Katanya, aplikasi yang berintegrasi dengan HMS Core juga telah meningkat dari 43,000 ke 81,000 dalam tempoh yang sama.

"Kami percaya ekosistem HMS diterima dengan baik dan diiktiraf di Malaysia. Bermula dari tahun lalu, telefon HMS telah mencatatkan pertumbuhan penjualan yang sangat stabil. Pelanggan juga memberi maklum balas yang amat baik terhadap peranti kami ini.

"Rakan kongsi kami di Malaysia mengalu-alukan pembangunan ekosistem HMS. Banyak aplikasi tempatan, termasuk Maybank, CIMB Bank, Touch'n Go dan Boost semuanya telah dilancarkan di AppGallery dan turut serta dalam pembangunan ekosistem HMS," katanya dalam taklimat secara maya bersama beberapa media tempatan terpilih di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Tan berkata, untuk mencapai keputusan yang lebih baik, Huawei juga mengadaptasi strategi glokal, iaitu kombinasi global dan tempatan, sehingga dapat memenuhi keperluan pengguna tempatan dengan lebih baik.

Katanya, berdasarkan tinjauan Huawei, perkara yang paling memeningkan pengguna adalah apabila terdapat terlalu banyak aplikasi untuk mereka.

"Oleh itu, kami menerapkan strategi glokal untuk menawarkan aplikasi yang diperlukan oleh pengguna tempatan dengan berkesan. Pada masa yang sama, kami akan mengumpulkan kandungan untuk menawarkan kandungan video dan muzik yang lebih baik dan lebih popular di peringkat setempat untuk pengguna.

"Bagi memastikan pengembangan HMS yang berterusan, keupayaan inovasi yang teguh diperlukan untuk menawarkan pengalaman inovatif kepada pengguna. Sebagai contoh, kami menawarkan pengalaman kandungan merentas peranti yang lancar kepada pengguna.

"Apabila pengguna mendengar muzik, mereka boleh menggunakan pembesar suara Bluetooth untuk mendengar muzik di rumah dan menggunakan telefon pintar untuk mendengar muzik ketika dalam perjalanan ke tingkat bawah tanah. Apabila berada di dalam kereta, mereka boleh mendengar muzik dengan pembesar suara Bluetooth di dalam kereta dengan bantuan sistem HiCar kami. Oleh itu, kami dapat menawarkan pengalaman muzik yang konsisten kepada pengguna," katanya.

Tambahnya, inovasi lain adalah aplikasi pantas yang mana kebiasaanya, jika pengguna ingin menggunakan aplikasi, mereka perlu memuat turun dan memasangnya terlebih dahulu.

Namun, dengan aplikasi pantas ini katanya, pengguna tidak perlu untuk memasang aplikasi itu, sebaliknya boleh terus menggunakannya serta merta.

"Kami juga memberi perhatian yang besar terhadap privasi dan keselamatan dengan telah banyak melabur baik dari segi tenaga kerja dan teknologi untuk memastikan privasi dan keselamatan pengguna terjamin dan dilindungi.

"Kami mematuhi standard GDPR dan GAPP. Pada masa sama, kami menjemput organisasi bertaraf antarabangsa untuk mengesahkan produk dan perkhidmatan kami. Huawei adalah satu-satunya vendor yang telah disahkan oleh EuroPrise, ISO dan CISA," katanya.

Menyentuh mengenai Huawei AppGallery, Tan berkata, ia diposisikan sebagai gedung aplikasi mudah alih yang menyediakan aplikasi elit kepada pengguna.

Oleh itu, katanya, ia bukan sekadar platform muat turun aplikasi rasmi daripada Huawei. "Kami banyak menumpukan pada kualiti aplikasi sehingga dapat memberikan kandungan dan faedah yang lebih baik kepada pengguna.

"Kami menawarkan aplikasi global dan tempatan terbaik termasuk Shoppe, Lazada, dan Agoda. Aplikasi terbaik tempatan seperti Maybank, Touch'n Go dan Boost juga semuanya boleh didapati di AppGallery.

"Pada masa sama, kami turut memilih aplikasi popular di China, Jepun dan Korea Selatan, termasuk Free Fire, Mobile Legends dan aplikasi permainan lain ke dalam gedung ini," katanya.

Kedudukan Huawei sebagai peneraju telefon mudah alih global terus diperkukuh apabila berjaya menamatkan dominasi Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar di dunia.

Berdasarkan satu laporan firma kajian pasaran, Canalys menyatakan bahawa untuk suku kedua tahun ini, Huawei menamatkan penguasaan Samsung untuk segmen pengeluar telefon pintar terbesar.

Berita Harian X