Isnin, 4 Mei 2020 | 7:45pm
Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali.
Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali.

MPD wakili Malaysia dalam Cabaran Inovasi Berita Google

KUALA LUMPUR: Media Prima Digital (MPD) dipilih sebagai salah satu 18 organisasi dalam Cabaran Inovasi Inisiatif Berita Google (GNI) daripada sekumpulan 255 penyertaan di seluruh Asia Pasifik.

Selain itu, MPD muncul satu-satunya syarikat yang mewakili Malaysia di rantau ini.

Portal permainan dan esukan MPD, MyGameOn telah dipilih untuk mengemukakan idea dan dengan sokongan IBG, berusaha untuk menampilkan cadangan isi kandungan bagi meningkatkan penggunaan kandungan dari komuniti pemain melalui penyesuaian.

GNI adalah usaha global oleh Google untuk bekerjasama dengan industri berita bagi membantu kewartawanan berkembang dalam era digital.

Menerusi beberapa pusingan pembiayaan serantau, Cabaran Inovasi GNI akan memperkasakan inovator berita dari seluruh dunia untuk menunjukkan pemikiran baharu dalam kewartawanan dalam talian serta pembangunan perniagaan penerbitan baharu.

Ketua Berita & Penerbitan Asia Pasifik Google, Fazal Ashfaq, berkata Cabaran Inovasi GNI yang mencari kaedah kreatif di bilik berita serantau meningkatkan hubungan bersama pembaca, adalah sebahagian usaha Google membantu kewartawanan berkembang dana era digital.

"Dipilih dalam kalangan 255 pemohon, cadangan dikemukakan Media Prima menunjukkan penyelesaian yang boleh diambil tindakan dan kami tidak sabar melihat hasil projek ini," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali, berkata syarikat amat berbesar hati dipilih dalam satu inisiatif yang mempercayai pemerkasaan inovator berita, khususnya dalam tempoh mencabar ini.

"Kami percaya ini sejajar dengan komitmen MDP untuk menjadi syarikat media digital utama. Dengan kepercayaan dan sokongan Google, kami akan terus berusaha ke arah membentuk industri berita," katanya.

Selain MyGameOn, MPD baru-baru ini turut mengambil alih operasi IGN Asia Tenggara bagi mengembangkan portfolio e-sukan dan permainannya, selain kehadiran digital di peringkat serantau.

Capaian digital Media Prima kini mencecah lebih 15.3 juta pelawat unik setiap bulan merentasi semua platform digital kumpulan, memenuhi segmen pengguna berbeza dan menyebarkan isi kandungan relevan bagi setiap platform.

Berita Harian X