Rabu, 22 April 2020 | 4:36pm
Unifi menawarkan pelan khusus pelajar universiti
Unifi menawarkan pelan khusus pelajar universiti

Unifi perkenal pelan mudah alih penuntut universiti

KUALA LUMPUR: Unifi memperkenalkan pelan mudah alih istimewa dengan sambungan tanpa had untuk membantu memudahkan e-pembelajaran dalam kalangan penuntut universiti selain memastikan mereka terus terhubung secara dalam talian.

Dalam kenyataannya, unifi berkata bagi permulaan, baru-baru ini pihaknya bekerjasama dengan Universiti Multimedia (MMU) untuk membekalkan sambungan mudah alih kepada lebih 13,000 penuntut, ahli fakulti dan kakitangannya, untuk memenuhi keperluan pendidikan mereka.

Usaha unifi itu juga bertujuan memastikan e-pembelajaran dan pengajaran dalam talian diteruskan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unifi turut menawarkan pelan pascabayar mudah alih baharu dengan memperkenalkan pelan istimewa; Pek Pelajar unifi Mobile, yang menawarkan ciri-ciri data, panggilan dan sms tanpa had pada RM59 sebulan tidak termasuk enam peratus cukai jualan dan perkhidmatan.

Unifi berkata, pihaknya bekerjasama dengan lebih 40 universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi menawarkan pelan mudah alih tanpa kontrak itu kepada penuntut bermula 24 April 2020.

Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia Bhd (TM), Anand Vijayan, berkata pandemik COVID-19 telah memaksa penuntut untuk beralih kepada pembelajaran jarak jauh.

“Banyak institusi pengajian tinggi telah menyesuaikan e-pembelajaran untuk melindungi penuntut dan tenaga pengajarnya dari risiko jangkitan.

“Kami memahami penuntut sangat memerlukan sambungan mudah alih yang menawarkan data tanpa had dan mampu dilanggani secara bulanan yang tidak memerlukan ciri tambahan atau tambah nilai dengan kerap apabila kuota mereka telah digunakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata lebih menarik, mereka masih boleh terus menikmati pelan itu walaupun tempoh PKP berakhir.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X