Rabu, 1 April 2020 | 7:10pm
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

MDEC galak pelajari kod semasa tempoh PKP

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan inisiatif Sains Komputer “Hour of Code” (HoC) untuk menggalakkan pelajar mempelajari kod ketika tempoh Perintah Kawalan (PKP).

Seiring dengan aspirasi gerakan #mydigitalmaker, MDEC berhasrat memacu ekonomi digital pada masa depan di bawah tiga teras utama iaitu kemahiran secara digital kepada rakyat Malaysia, memperkasa perniagaan secara digital dan menarik pelaburan digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri, dalam kenyataan hari ini berkata, MDEC sebelum ini telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menjalankan sesi HoC di sekolah-sekolah.

“Memandangkan pelajar ketika ini berada di rumah, kami mahu mengekalkan momentum ini menerusi kempen dalam talian.

“Ia juga sejajar dengan gerakan #DigitalVsCovid yang diwujudkan dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mendorong rakyat Malaysia memanfaatkan peralatan dan perkhidmatan digital tersedia bagi menangani impak COVID-19 terhadap masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Ibu bapa, guru dan pelajar boleh melayari www.mydigitalmaker.com/hoc untuk mendapat maklumat lanjut dan menyertai kempen ini.

Selain HoC, ia turut menawarkan program Future Skill for All (FS4A) secara dalam talian sepanjang tempoh PKP dengan kerjasama DiGi Telecommunications dan UNICEF, yang disokong oleh Kementerian Pendidikan.

“Program berkenaan sebelum ini dijalankan di bengkel, namun, susulan penguatkuasaan PKP, ia dibuat secara seminar berasaskan web mengenai pemprograman dengan peralatan mikrobit menerusi YouTube,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MDEC berkata sebagai sebahagian daripada tanggung jawab sosial korporatnya, ia menjadi peneraju dalam platform digital pendanaan awam dalam meraih dana untuk barisan hadapan demi melindungi mereka daripada impak pandemik itu.

Dana itu akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan IMARET (http://www.imamalaysia.org/what-we-do/imaret/) yang mematuhi protokol ditetapkan MKN20 untuk mengagihkan peralatan ke hospital dan klinik di seluruh negara.

Untuk menghulurkan sumbangan DigitalVsCovid, orang ramai boleh melayari Global Sadaqah (https://bit.ly/2JED46V), pitchIN (https://bit.ly/2Ut9SWE) dan SimplyGiving (https://bit.ly/39rbi8c).

-BERNAMA

Berita Harian X