Isnin, 24 Februari 2020 | 5:28pm
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah), Pengarah Kanan, BSA I The Software Alliance, Tarun Sawney (kanan) dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (kiri) pada Kempen Menghalalkan & Melindungi Malaysia. NSTP/Saifullizan Tamadi
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah), Pengarah Kanan, BSA I The Software Alliance, Tarun Sawney (kanan) dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (kiri) pada Kempen Menghalalkan & Melindungi Malaysia. NSTP/Saifullizan Tamadi

Perisian cetak rompak boleh membebankan syarikat

KUALA LUMPUR: Syarikat yang menggunakan perisian cetak rompak atau tidak berlesen berisiko tinggi untuk mendapat serangan siber yang boleh membebankan mereka dengan kos RM10.2 juta dan mengambil masa 50 hari untuk diselesaikan.

Pengarah Kanan BSA | The Software Alliance, Asia Pasifik (BSA), Tarun Sawney, berkata kos untuk berdepan dengan ‘malware’ berkaitan perisian tidak berlesen atau cetak rompak semakin meningkat, apabila kini membabitkan kos lebih RM42,000 untuk setiap komputer yang mendapat serangan virus.

Beliau berkata, berdasarkan Kaji Selidik Perisian BSA Global pada Jun 2018, organisasi kini berdepan satu daripada tiga peluang untuk berdepan ‘malware’ apabila mereka menggunapakai pakej perisian tidak berlesen atau membeli komputer dengan perisian tidak berlesen.

“Dengan kadar 15 peratus penggunaan perisian cetak rompak, Malaysia tidak terkecuali untuk berisiko serangan siber. Justeru, adalah kritikal untuk syarikat Malaysia mengambil langkah menghalalkan penggunaan perisian mereka dan mengambil langkah untuk melindungi perniagaan mereka daripada serangan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Kempen Menghalalkan & Melindungi yang dilaksanakan oleh BSA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Kempen Menghalalkan & Melindungi itu dilancarkan untuk menggalakkan syarikat mendapatkan lesen sah secara sukarela bagi aset perisian sebelum mereka dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan.

Ia juga menyasarkan untuk mencapai 10,000 perniagaan, terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan perisian yang sah dan berdaftar.

Sebagai sebahagian daripada kempen, BSA akan menghantar notis kepada syarikat dengan memaklumkan mengenai risiko operasi, undang-undang, keselamatan dan reputasi sekiranya mereka menggunakan perisian cetak rompak.

Setelah menerima notis berkenaan, syarikat mempunyai 90 hari untuk mendapatkan lesen bagi aset perisian mereka secara sukarela.

Syarikat yang masih menggunakan perisian cetak rompak pada akhir tempoh kempen itu dianggap melanggar Akta Hak Cipta 1987.

Mengulas mengenai tindakan yang sudah dilaksanakan KPDNHEP terhadap syarikat yang menggunakan perisian cetak rompak, Hasnol Zam Zam berkata, dalam tempoh 2016 hingga 2019, kementerian berjaya melakukan 15 serbuan penguatkuasaan dan merampas komputer dan salinan perisian yang disyaki cetak rompak dengan nilai anggaran RM912,100.

Di bawah Akta Hak Cipta 1987, mereka yang didapati bersalah menggunakan perisian cetak rompak boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM20,000 untuk setiap salinan perisian cetak rompak yang ditemui.

Selain itu, pengurusan kanan syarikat juga mungkin berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X