Isnin, 20 Januari 2020 | 6:15pm

Rundingan Khazanah Nasional-Telenor berpotensi jadi pemangkin

KUALA LUMPUR: Rundingan semula antara Khazanah Nasional Bhd dan operator mudah alih terbesar Norway, Telenor ASA berhubung potensi urus niaga membabitkan Axiata Group Bhd, berpotensi menjadi pemangkin sektor sekiranya cadangan gabungan itu menjadi kenyataan, kata penganalisis.

Manfaat lain adalah sinergi hasil daripada konsolidasi sektor telekomunikasi tempatan bagi mengurangkan persaingan membabitkan operator perkhidmatan mudah alih itu, kata Penganalisis AmInvestment Bank, Alex Goh.

“Apa yang kami lihat, harga saham syarikat telekomunikasi (telco) meningkat baru-baru ini berikutan aliran peningkatan kerjasama yang ketara membabitkan operator (teknologi mudah alih generasi kelima) 5G,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Berikutan itu, bank pelaburan itu telah mengekalkan unjuran 'neutral' terhadap sektor tersebut sementara menunggu perkembangan lanjut mengenainya.

Mengulas perkara itu, Goh berkata sektor itu akan turut dinilai semula susulan penyusutan hasil dalam persekitaran yang menyaksikan peningkatan perang harga mudah alih serta penurunan mendadak harga tetap jalur lebar tahun depan, dipacu oleh keutamaan membabitkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara,

“Kami juga berhati-hati terhadap kemungkinan kenaikan kos operasi dan keperluan modal daripada jangkaan awal ketika pihak operator atau pengendali perlu mempertingkatkan infrastruktur rangkaian masing-masing bagi pelaksanaan 5G,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan mengenai tindakan Khazanah Nasional menghidupkan semula rundingan dengan Telenor ASA yang memiliki 49 peratus kepentingan ekuiti dalam Digi.Com berhubung potensi urus niaga Axiata Group.

Kedua-dua pihak juga dilaporkan di peringkat awal untuk meninjau beberapa kemungkinan termasuk Telenor membeli 38 peratus kepentingan ekuiti dalam Axiata dan menggabungkan aset menara telekomunikasi Axiata dan Telenor atau konsolidasi dalam pasaran tertentu.

“Ini semua masih di peringkat tinjauan dan sebarang cadangan penggabungan atau sebaliknya, perlu dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak terbabit,” katanya.

Menurut Goh, sebarang usaha pengambilalihan kepentingan minoriti itu akan hanya membolehkan Telenor memperkukuhkan lagi kedudukannya di Asia.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan kerjasama dan pengumpulan sumber dalam kalangan pemain utama industri itu juga tidak kurang pentingnya, terutama dalam persekitaran peningkatan perbelanjaan modal bagi pelaksanaan 5G.

Pada masa sama, persaingan sengit di tengah-tengah dasar kerajaan untuk memperluas jalur lebar ke kawasan luar bandar dan pedalaman, juga membuktikan kepentingan konsolidasi sektor telekomunikasi, katanya.

Beliau berkata pelaburan sebanyak RM7 bilion-RM8 bilion bagi penggunaan 5G di Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Pasukan Petugas Khas 5G adalah disasarkan untuk lokasi membabitkan kegunaan data yang tinggi.

“Sumber industri menunjukkan bahawa perbelanjaan modal (capex) bagi setiap kilometer persegi mungkin 10 kali lebih tinggi daripada 4G di lokasi terpilih,” katanya.

Goh turut menganggarkan capex 4G oleh syarikat telekomunikasi melepasi RM15 bilion setakat ini merangkumi program liputan kebangsaan sepanjang enam tahun lalu.

Selain perbelanjaan 5G, beliau berkata capex tambahan bagi 4G juga masih diperlukan berikutan hanya 40 peratus daripada menara mudah alihnya mempunyai sambungan gentian optik yang menyebabkan kelajuan dan sambungan sub-optimum untuk perkhidmatan berkenaan.

“Ini membuktikan sebahagian besar menara mudah alih dengan gentian optik itu adalah diperlukan bagi melaksanakan perkhidmatan 5G,” katanya.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menekankan bahawa aliran capex syarikat telekomunikasi susut dan berada di bawah tahap purata industri.

Dalam kalangan ketiga-tiga pengendali mudah alih utama, capex Digi Telecommunications Sdn Bhd susut paling ketara sebanyak 11 peratus pada tahun lalu manakala Celcom Axiata Bhd enam peratus dan Maxis Bhd sebanyak lima peratus.

-- BERNAMA

TAG:

AmInvestment Bank, Syarikat Telekomunikasi, 5G, 4G, NFCP, Axiata, Telenor

Berita Harian X