Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:22pm
Panelist (dari kiri) Ketua E-Commerce dan Nescafe Dolce Gusto, Joshua Zhu, Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng, Ketua Pegawai Eksekutif TnG Digital, Ignatius Ong Ming Choy dan Ketua Pegawai Perniagaan Lazada, Kevin Lee pada Perlancaran Lazada WECOMMERCE 2019 MITEC. - Foto Saifullizan Tamadi

Peniaga baharu di Lazada meningkat 97 peratus

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang terkemuka Malaysia, Lazada merekodkan peningkatan 97 peratus bagi pendaftaran peniaga baharu sejak September 2018.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee, berkata peningkatan pendaftaran peniaga tertinggi dicatatkan dari Kelantan, Labuan dan Kedah dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 137 peratus, 121 peratus dan 116 peratus.

Katanya, Lazada komited untuk terus memperkasa komuniti melalui e-dagang dengan menyediakan teknologi, penyelesaian terbaik dan ilmu pengetahuan kepada peniaga bagi membantu memperkembang perniagaan usahawan dan ekonomi digital.

“Bagi membina satu komuniti penjual yang kondusif dan pelbagai di seluruh negara, Lazada juga membangunkan komuniti khas untuk peniaga di Facebook dan ia kini disertai hampir 80 peratus ahli baharu.

“Selain itu, Lazada Malaysia juga telah mewujudkan lebih 1,000 'drop points' di seluruh negara dengan 480 daripadanya di sekitar Lembah Klang.

“Kami turut giat menjalankan pelbagai inisiatif serta memperkenalkan inovasi baharu untuk berkomunikasi dengan pengguna," katanya kepada media sempena pelancaran Sidang Kemuncak Lazada Wecommerce 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, Pierre Poignant dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow.

Lazada memperkenalkan Wecommerce dengan konsep New Retail (Peruncitan Baharu), iaitu konsep cara membeli-belah masa hadapan melalui teknologi terkini sokongan daripada Alibaba.

New Retail menampilkan konsep untuk penjual berkomunikasi bersama pelanggan melalui integrasi dari luar talian terus ke dalam talian bagi pengalaman beli-belah yang baharu.

Lee berkata, sebagai peneraju Wecommerce dan menyokong pertumbuhan pantas peniaga yang bakal mengubah industri perniagaan, Lazada telah menyediakan latihan secara langsung selama lebih 530 jam meliputi 132 sesi yang dihadiri oleh 7,000 peniaga sejak tahun lalu.

Beliau berkata, persidangan Wecommerce ini menampilkan pakar sektor perniagaan dan e-dagang, pedagang global, penjual dan usahawan serantau yang berkongsi amalan terbaik serta mempertingkatkan kemahiran melalui perisian analitik dan latihan.

“Peserta berpeluang menemui pembekal dan peniaga dari negara Asean, China, Jepun, Australia dan New Zealand untuk membincangkan keperluan perniagaan dan memperluas rangkaian mereka melalui peluang padanan perniagaan yang diadakan," katanya.

Berita Harian X