Isnin, 30 September 2019 | 4:19pm
HUAWEI Watch GT2 tampil dengan ciri penggunaan lebih luas selain mempromosikan gaya hidup sihat.

Huawei Watch GT2 promosi gaya hidup sihat

MUNICH, JERMAN: Sempena dengan pelancaran siri telefon pintar Mate 30 baru-baru ini, Huawei turut memperkenalkan generasi jam tangan pintar terbaharu, Huawei Watch GT2.

Jam tangan pintar ini tampil dengan rekaan berbentuk bulat yang memiliki dua pilihan saiz, iaitu 42 milimeter (mm) dan juga 46 mm.

Ia menggunakan skrin 1.39-inci AMOLED dengan resolusi skrin 454 x 454 piksel, selain dilengkapi cip pemprosesan Kirin A1 dibangunkan sendiri oleh Huawei, yang disifatkan syarikat itu lebih cekap dan berdaya tahan.

Huawei Watch GT 2 mempunyai ketahanan beteri sehingga dua minggu bagi penggunaan biasa dengan ciri GPS dimatikan.

Ketika memperkenalkan Huawei Watch GT2 di sini minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu menyatakan komitmen syarikat itu untuk meningkatkan penggunaan generasi jam tangan pintar mereka.

“Kami ingin membantu pengguna untuk meningkatkan kualiti hidup mereka menerusi gaya hidup saya sihat,” katanya sambil menambah ia memiliki ciri lebih baik berbanding generasi sebelumnya, Huawei Watch GT yang dilancarkan tahun lalu.

Yu berkata, selain berfungsi untuk kesihatan, Huawei Watch GT 2 juga memiliki pelbagai lagi kandungan menarik seperti senarai nombor panggilan, simpanan lagu serta mampu membuat panggilan menerusi bluetooth dengan jarak maksimum 150 meter.

Sesuai dengan panggilannya sebagai jam tangan pintar untuk kecerdasan, Huawei Watch GT 2 juga dapat digunakan untuk memantau keadaan tubuh pengguna termasuk mengesan kegagalan pada fungsi jantung seseorang.

Menerusi jam tangan pintar ini, penggunanya akan diberi notifikasi jika denyut jantung berada di atas bacaan 100 degupan seminit (bpm) atau di bawah 50 bpm selama lebih dari 10 minit.

Malah, ia mampu memantau denyut jantung ketika tidur serta kualiti pernafasan, sekali gus dengan menggunakan data yang dikumpulkan itu, mampu untuk membuat analisis kepada kualiti tidur penggunanya.

Selain itu, Huawei Watch GT 2 juga dilengkapi dengan teknologi TruRelax yang berpeluang untuk membantu pengguna menurunkan tahap tekanannya.

Huawei Watch GT2 akan mula memasuki pasaran Oktober depan dengan harga ditawarkan 249 euro (RM1,145) untuk saiz 46 mm dan 229 euro (RM1,053) bagi saiz 42 mm.

Berita Harian X