Selasa, 10 September 2019 | 7:09pm

OPPO sasar perkukuh kedudukan di Malaysia

KUALA LUMPUR: OPPO, pengeluar telefon pintar terkemuka menjangkakan pasaran Malaysia tetap kompetitif meskipun berdepan persaingan pelbagai produk lebih murah dari China dan pasaran domestik yang semakin matang.

Pereka Industri OPPO, Sophia Xie, berkata industri telefon pintar menjadi antara pasaran menarik berdasarkan asas yang kukuh terutama di peringkat domestik.

Beliau berkata, bagi memastikan jenama OPPO kekal berdaya saing, syarikat berpangkalan di Guangdong, China akan terus meningkatkan saluran komunikasi dari segi produk dan membawa inovasi menerusi siri produknya, Reno dan Find.

Katanya, OPPO kekal pesat di pasaran Malaysia selaras dengan perkembangan industri di negara ini dengan ketika ini, jenama itu berada di kedudukan kedua di pasaran tempatan untuk suku tahun ketiga berturut-turut sejak suku ketiga tahun lalu.

“Bagi saluran dan jualan, kami akan berusaha ke arah mewujudkan pengalaman runcit yang baharu dan menarik. OPPO bermatlamat untuk merealisasikan transformasi sistem runcit secara berperingkat, bergerak dari ‘pembelian mudah’ ke ‘pengalaman berkualiti tinggi’.

“Paling penting, perkhidmatan pelanggan juga menjadi kunci kepada pengekalan pelanggan. Sebagai jenama yang berpaksikan pelanggan, OPPO meletakkan penekanan yang kuat untuk selebihnya selaras dengan keperluan pelanggan.

“Kami ingin menjadi perintis dalam perkhidmatan pelanggan dengan menawarkan penjagaan pelanggan yang inovatif dan industri yang terkemuka, seperti janji program 1 Jam Flash Fix dan Waranti Antarabangsa yang dapat dinikmati pengguna premium kami,” katanya kepada BH.

Berdasarkan Laporan Canalys, OPPO Malaysia berada pada kedudukan kedua dari segi jualan selepas lima tahun memasuki pasaran negara ini.

Ketika ini, terdapat 4.4 juta pengguna OPPO di Malaysia.

Mengenai teknologi generasi kelima (5G), Xie berkata, pada Julai lalu OPPO Malaysia melaksanakan ujian kelajuan 5G dan mencapai kelajuan muat turun 1.2 gigabait per saat (Gbps) sekali gus membuktikan prestasi teknologi baharu yang cemerlang menerusi siri OPPO Reno.

“Pencapaian ini sekali lagi menjadikan kami berada pada asas kukuh dalam menawarkan perkhidmatan dan produk terbaik kepada pengguna di Malaysia pada masa depan,” katanya.

Pada masa akan datang, OPPO bercadang mahu kekal kukuh dalam pasaran ASEAN dengan sasaran menjadi jenama pilihan.

OPPO menyasarkan untuk menjadi jenama berkedudukan lima terbaik global dan kekal pada kedudukan kedua di ASEAN dengan mengembangkan capaian ke pasaran baharu.

126 dibaca
Berita Harian X