Ahad, 8 September 2019 | 3:01pm
Pejabat Apple.

Apple dijangka perkenal iPhone dengan tawaran isi kandungan

SAN FRANCISCO: iPhone akan menjadi tumpuan pada pembentangan media Apple, Selasa ini meskipun gergasi teknologi California itu meningkatkan usaha dari segi tawaran isi kandungan dan perkhidmatan bagi peranti keluarannya.

Apple hanya membuat sedikit pendedahan mengenai rancangannya pada acara yang berlangsung Selasa ini di ibu pejabatnya di Silicon Valley, Cupertino.

Untuk beberapa tahun ini, Apple membuat acara pada musim luruh untuk melancarkan model iPhone menjelang musim cuti beli-belah.

Spekulasi adalah Apple akan memperkenalkan tiga iPhone yang dinaik taraf, termasuk model ‘Pro’ dan pengganti kepada iPhone XR, dengan harga telefon pintar premium sekitar AS$1,000.

Beberapa penganalisis berkata, perkhidmatan, langganan dan isi kandungan dalam talian akan berkongsi pentas dengan pelancaran peranti di tengah-tengah usaha Apple untuk mengalihkan fokusnya.

“Saya merasakan ini tahun pertama acara itu akan turut mengetengahkan perkhidmatan,” kata Penganalisis Creative Strategies, Carolina Milanesi.

“Kita mungkin dapat melihat kedudukan Apple sebagai sebuah syarikat apabila mereka memperkatakan perkhidmatan dan peranti sebagai satu produk.”

Milanesi berminat untuk melihat sama ada pembentangan Selasa ini termasuk tawaran iPhone yang menggabungkan muzik, televisyen atau perkhidmatan permainan dengan telefon pintar baharu.

“Anda berpeluang untuk benar-benar memberikan nilai kepada peranti dengan perkhidmatan,” kata Milanesi.

Apple baru-baru ini melancarkan kad kredit generasi telefon pintar di Amerika Syarikat (AS) dan berminat melancarkan perkhidmatan penstriman TV+ sebelum Disney melancarkan secara langsung perkhidmatan pesaing pada November ini.

Ramai berminat untuk mengetahui sama ada pelancaran Apple TV+ akan menjadi antara pengumuman Selasa ini.

Dengan disertai bintang Hollywood, Apple menampilkan pelan video penstriman bersama berita dan tawaran langganan permainan sebagai usahanya untuk mengalihkan fokus kepada isi kandungan digital serta perkhidmatan, bagi membebaskannya daripada kebergantungan kepada jualan iPhone.

Syarikat itu juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan langganan permainan baharu yang dipanggil Apple Arcade di peringkat antarabangsa menjelang akhir tahun ini.

Apple berupaya meningkatkan pendapatan keseluruhannya, meskipun pada kadar sederhana sebanyak satu peratus kepada AS$53.8 bilion (RM224.9 bilion), meskipun pendapatan iPhone merosot hampir 12 peratus dalam tempoh April hingga Jun.

-AFP

594 dibaca
Berita Harian X