Jumaat, 26 Julai 2019 | 3:38pm
PENGERUSI SKMM, Al-Ishsal Ishak (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi hadir pada majlis pelancaran ujian 5G di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Celcom lancar ujian lapangan berkelompok 5G pertama

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd melancarkan ujian lapangan berkelompok 5G secara langsung yang pertama di Malaysia dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia telekomunikasi terkedepan menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Ujian 5G berkenaan yang dilaksanakan di ibu pejabatnya di @celcom di sini, akan dijalankan selama enam bulan membabitkan di sekitar kawasan Petaling Jaya Sentral dengan tujuan menguji dan memantau kes penggunaan serta prestasi liputannya dalam persekitaran sebenar.

Ia akan meneroka model aplikasi dan kes penggunaan, dalam memperlihatkan keupayaan 5G bagi menyokong aplikasi bandar pintar dan meneroka pelbagai industri seperti pengangkutan, pertanian, pendidikan, keselamatan serta banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata ujian 5G itu akan meliputi keluasan hampir 1.22 kilometer persegi merangkumi kira-kira 450 kediaman, 130 lot kedai, pejabat, kawasan membeli belah dan kawasan luar bandar membabitkan lebih 4,600 orang dalam kawasan berkenaan.

Katanya, di peringkat awal, ujian itu akan memperlihatkan daya pemprosesan hampir enam gigabit sesaat (Gbps) dan akan dipertingkatkan lagi sepanjang tempoh ujian berkenaan di kawasan terpilih Petaling Jaya, seperti Seksyen 14, Crystal Crown Hotel, Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stesen LRT Taman Jaya.

“Teknologi 5G dijangka menyediakan jaringan hubungan menyeluruh kepada pengguna dan perniagaan dengan pengalaman yang berbeza. Kajian mendalam mengenai ciri-ciri 5G adalah penting untuk memastikan pelaksanaan yang lancar dalam masa terdekat, dan ujian lapangan berkelompok adalah platform yang ideal bagi ujian yang menyeluruh.

“Pakar rangkaian kami, bersama-sama beberapa rakan teknologi akan menjalankan ujian dan penyesuaian pengalaman pengguna 5G, menggunakan kes, konfigurasi rangkaian, pengurusan kitaran pelanggan, pengoptimuman rangkaian dan pengkomersialan, yang seterusnya menjurus kepada evolusi kepada perkhidmatan, proses, produk sedia ada dan model perniagaan sedia ada.

“Kami yakin bahawa hasil ujian 5G ini akan membolehkan kami mengkaji dan seterusnya menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia kepada semua rakyat Malaysia dan mampu merealisasikan impian Malaysia sebagai negara digital," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ujian 5G berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.

Berita Harian X