X
Rabu, 2 Januari 2019 | 11:26am
JAM Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) terbaharu Garmin dikenali sebagai Instinct.
JAM Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) terbaharu Garmin dikenali sebagai Instinct.

Anda mahu jadi berani seperti Instinct

SEANDAINYA anda seorang yang gemarkan aktiviti mencabar seperti trekking, mendaki gunung dan kegiatan lasak lain, barangkali anda perlu mencuba jam Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) terbaharu Garmin dikenali sebagai Instinct.

Jam GPS kukuh dan tahan lasak itu menampilkan kompas 3-axis dan barometric altimeter selain sokongan sistem satelit nagivasi global (GPS, GLONASS dan Galileo) dan pengesan kecergasan kadar degup jantung di pergelangan tangan.

Selain data utama GPS, ABC dan sensor kadar degup jantung, Instinct turut didatangkan dengan aplikasi sukan, penyambungan pintar dan data kecergasan.

Memandangkan jam ini disasarkan kepada peminat tegar kegiatan lasak dan mencabar, The Garmin Instinct dicipta berdasarkan standard ketenteraan Amerika Syarikat (MIL-STD-810G) untuk tahan panas, tahan haba dan kalis air serta bahagian luar polimer yang diperkuat dengan fiber.

Ketika menguji jam ini, penulis berkesempatan menggunakannya untuk kegiatan seperti hiking, trekking dan dalam cuaca buruk yang membuktikan Instinct amat tahan lasak dan kukuh.

Malah penulis tidak bimbang jika jam ini terlanggar sesuatu yang keras kerana ia diperbuat daripada bahan tahan lasak.

Malah, ketika dipakai dalam keadaan basah tidak menjadi masalah langsung dan anda boleh menggunakannya ketika aktiviti menyelam.

Ini kerana jam berkenaan kalis air untuk digunakan sehingga kedalaman 100 meter dan kalis kakisan di mana ia mampu digunakan dalam persekitaran maritim yang masin.

Seratus meter bermakna dua kali ganda selaman selamat seorang manusia.

Selain itu, jam berkenaan boleh menahan suhu -20 darjah Celcius hingga 60 degree Celcius, dan ujian dari pelbagai arah ketika ia dijatuhkan pada ketinggian 122 sentimeter.

Garmin dilaporkan berkata, jam terbabit diperbuat berdasarkan standard ketenteraan dan tahan lasak, tahan lama dan kalis air serta menyokong gaya hidup kegiatan luar dengan ciri navigasi canggih dan pengesan kecergasan menerusi kadar degup jantung dan kemudahan GPS.

Instinct turut membolehkan pengguna untuk merancang laluan mereka sebelum memulakan aktiviti luar.

Ciri pintar ini memang akan amat dihargai dalam kalangan mereka yang aktif dalam kegiatan trekking.

Aplikasi Garmin Explore akan membantu pengguna merancang perjalanan mereka lebih awal dan bila masa yang sepatutnya untuk kembali ke kem.

Jam berkenaan memberi fokus terhadap ciri yang mudah digunakan apabila anda trekking atau hiking.

Terdapat navigasi laluan, keupayaan untuk memindahkan laluan GPX dan termasuk ciri menarik Garmin iaitu TrackBack.

Aplikasi terbabit tiada cacatnya dan memberikan jaminan bahawa anda tidak akan sesat dan dapat kembali ke tempat anda bermula.

Sementara ciri TracBack boleh mengemudi anda di laluan yang sama untuk kembali ke tempat anda bermula.

Selain kemudahan untuk mengetahui kadar degup jantung, pengguna boleh memantau aktiviti harian, tahap tekanan, tidur dan data kecergasan lain.

Tidak kira kegiatan perkhemahan, latihan larian atau aktiviti harian, jam ini akan memantau degup jantung, jumlah langkah, jarak perjalanan, kalori yang dibakar dan banyak lagi.

Hiking, berlari, berbasikal, berenang, kayak dan ski adalah beberapa aktiviti yang terdapat dalam peranti berkenaan.

Garmin Instinct didatangkan pada harga RM1,450.

Berita Harian X