Khamis, 29 November 2018 | 4:47pm

Digi komited bina tabiat penggunaan digital bertanggungjawab

SHAH ALAM: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) melaksanakan pelbagai inisiatif digital bagi membantu mewujudkan tabiat penggunaan digital yang lebih bertanggungjawab dan memperkasa akses Internet kepada rakyat negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albern Murty berkata, komitmen berkenaan ditampilkan menerusi inisiatif Yellow Heart yang turut didokong oleh usaha lain seperti Akademi Digi, Program Robotik Digi dan Kem Kemahiran Masa Depan Digi.

Katanya, menerusi semua komponen terbabit, syarikat telekomunikasi itu juga akan memfokuskan kepada bagaimana Internet dan teknologi dapat digunakan secara cekap bagi mengurangkan ketidaksamarataan dalam kalangan remaja dan aktiviti buli dalam dunia siber.

“Dalam dunia yang sedang berkembang dan kemunculan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0), jadi pelbagai segmen perlu diteroka seperti pengekodan, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

“Melalui Yellow Heart, kami yakin Digi dapat memacu dan menyumbang kepada pembangunan digital serta membantu generasi masa kini untuk menggunakan Internet secara lebih bertanggungjawab bagi membina komuniti digital yang mampan,” katanya di Sidang Kemuncak Perkongsian Pengurangan Ketidaksamarataan (PFRI) oleh Digi di sini, hari ini.

Murty berkata, Akademi Digi menyediakan peluang kepada pelajar sekolah menengah yang kurang bernasib baik untuk mempelajari kemahiran seperti pengkodan dan pengaturcaraan di pusat Internet terpilih yang diuruskan oleh Digi.

“Setakat ini, kami berjaya membantu 550 remaja dalam projek rintis bertujuan mendekatkan jurang kemahiran digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Untuk program robotik pula, kami menjalin kerjasama dengan Petrosains dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mana 40 pelajar dipilih untuk menyertainya,” katanya.

Sidang Kemuncak itu turut melancarkan keputusan bancian keselamatan atas talian kebangsaan ketiganya, iaitu Digi Yellow Heart Cyberbullying dan Youth Disposition Survey 2018.

Bancian memberi penekanan terhadap keselamatan semasa melayari Internet serta kegiatan pembulian dalam dunia siber masa kini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram berkata, bancian atas talian itu adalah antara usaha Digi yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu bagi memupuk penggunaan digital yang bertanggungjawab.

Berita Harian X