Selasa, 24 Julai 2018 | 3:56pm
GANESH Kumar Bangah. - Foto NSTP
GANESH Kumar Bangah. - Foto NSTP

#Mycybersale dijangka raih nilai dagangan kasar RM370 juta

KUALA LUMPUR: Jualan dalam talian terbesar, #Mycybersale 2018 siri kelima yang bermula 3 September hingga 7 September dijangka menjana nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM370 juta berbanding RM311 juta yang dicatat pada 2017.

Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom), yang juga penganjur karnival berkata, hasil pendapatan eksport tahun ini dijangka melonjak kepada RM50 juta daripada RM39 juta tahun lalu.

Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah berkata acara ini telah terbukti menjadi platform yang hebat bagi peniaga Malaysia dan menjadi sebahagian daripada ekosistem yang menyumbang kepada pendapatan e-dagang domestik dan eksport.

"Selaras dengan tema 'Memandu Pertumbuhan Melalui Semua Saluran e-Dagang', karnival bertujuan menggalakkan perusahaan mikro mengamalkan pendekatan omni saluran untuk perniagaan sekali gus mengurangkan pergantungan mesej media sosial peribadi," kata Ganesh dalam satu kenyataan.

Pikom menyasarkan 1,200 peniaga mengambil bahagian tahun ini (2017: 1,007 peniaga) dengan sekurang-kurangnya 50 peratus daripadanya dijangka menjadi pengeksport.

Lebih 600 peniaga telah berdaftar untuk #Mycybersale 2018 sejak pra-pelancarannya pada 10 Julai 2018.

Karnival #Mycybersale berkembang dari tahun ke tahun di bawah kelolaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan catatan GMV sebanyak RM67 juta pada tahun 2014, RM117.7 juta pada 2015 dan RM211 juta pada 2016.

Pikom mula meneraju inisiatif #Mycybersale mulai 2017.

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng, berkata karnival #Mycybersale menawarkan platform hebat untuk syarikat mikro untuk memulakan pembinaan jenama dan pangkalan pelanggan mereka di Malaysia dan ke peringkat seterusnya.

"Adalah penting bagi kami untuk membantu syarikat tempatan membangun. Syarikat-syarikat yang lebih kecil boleh memanfaatkan peluang pertumbuhan terbaik ini dengan menggunakan e-dagang dalam operasi mereka.

"Banyak perusahaan kecil dan sederhana telah mula menggunakan platform digital sebagai persediaan perniagaan. Mycybersale di bawah kepimpinan Pikom sedang menarik pembiayaan sektor swasta dan MDEC akan terus memainkan peranan menyokong," katanya.

Pendaftaran untuk menyertai #Mycybersale 2018 di www.mycybersale.my adalah percuma namun perlu dilakukan selewat-lewatnya 31 Julai ini.

Berita Harian X