Sabtu, 21 Julai 2018 | 9:06pm
vívoactive 3 Music.
vívoactive 3 Music.

Dengar muzik guna jam pintar

JIKA anda pengikut tegar berkaitan produk Garmin, pasti model jam pintar vívoactive 3 Music berupaya menceritakan segala-galanya.

Produk terbaharu yang dilancarkan oleh Garmin Malaysia baru-baru ini, bukan sekadar jam pintar.

Bukan sekadar jam pintar yang mempunyai keupayaan GPS, lebih daripada itu, ia didatangkan dengan mengintegrasi elemen muzik yang membolehkan pengguna membawa lagu kegemaran ketika bersenam atau menjalankan sebarang aktiviti.

Malah pelbagai keunikan lain untuk memenuhi kehendak peribadi pengguna termasuk paparan muka percuma, widget, lapangan data dan aplikasi menerusi Garmin Connect.

vívoactive 3 Music adalah aksesori yang lengkap untuk pengguna yang gemar berlari, menyertai maraton 10 kilometer dan apa saja kegiatan.

Naib Presiden Jualan Pengguna Global Garmin, Dan Bartel dalam kenyataan akhbar berkata: "Muzik boleh menjadi komponen besar untuk memberikan suntikan motivasi bagi sebarang senaman atau aktiviti.

"Kami memang teruja untuk memberikan kesempatan pelanggan supaya meninggalkan telefon mereka di rumah dan mendengar lagu kegemaran dari pergelangan tangan."

Menampilkan ciri-ciri yang sama seperti kecergasan, kesihatan dan penyambungan pintar ketika pelancaran vívoactive 3 sebelum ini, model vívoactive 3 Music memberikan kemampuan menarik dengan berupaya menyimpan sehingga 500 lagu.

Pengguna perlu memuat turun senarai lagu atau memindahkan terus menggunakan komputer ke dalam jam pintar itu.

Selepas dimuat turun, jam berkenaan perlu diselaraskan dengan fon kepala Bluetooth.

vívoactive 3 Music yang dijual pada harga RM1,299 adalah inovasi terkini yang dipertaruhkan oleh Garmin untuk terus membangunkan teknologi bagi meningkatkan serta mempromosikan aspek kesihatan dan gaya hidup aktif.

Berita Harian X