Rabu, 13 September 2017 | 9:42pm
Peranti myBIA yang terkini.Ihsan Pembaca
Dr Mas Sahidayana Mohktar. Ihsan Pembaca

myBIA peranti mudah alih ukur kolesterol

Prof Fatimah menunjukkan peranti myBIA versi terkini.Ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Prosedur pengambilan darah menggunakan teknik invasif untuk mengenal pasti tahap kolesterol seseorang, akan mendedahkan individu terbabit dengan risiko mendapat lebam atau hematoma.

Bagi mengatasi masalah itu, Pengarah Pusat Inovasi Kejuruteraan Perubatan (CIME), Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Fatimah Ibrahim, menghasilkan sebuah peranti mudah alih dinamakan myBIA.

Beliau berkata, myBIA adalah suatu sistem menganalisis nilai galangan tubuh manusia dalam bentuk peranti mudah alih untuk memantau komposisi elemen tertentu di dalam tubuh pengguna, termasuk kolesterol, yang boleh dikorelasikan dengan pengurusan simptom dan penyakit secara lebih menyeluruh.

"Sistem dibangunkan terdiri daripada komponen perkakasan dan modul perisian, antaranya yang dipasang dalam kotak bersaiz 8 sentimeter (cm) x 5cm dan berketebalan 2cm, mampu mengukur parameter galangan pada 5 frekuensi (kHz), 50kHz, 100kHz dan 200kHz dengan arus keluaran amat rendah nilai, iaitu kurang 0.001 ampere," katanya.

Berbeza dengan peranti pengukur lain, myBIA bersifat bukan invasif dan keputusan ukuran komposisi tubuh boleh diperoleh dalam masa tiga minit sahaja dengan cuma menampalkan elektrod peranti ke bahagian kulit pengguna di pergelangan tangan dan kaki kanan.

Gambar rajah skema cara peranti myBIA berfungsi.Ihsan Pembaca

Peranti myBIA sedang dipasangkan pada subjek untuk mengukur parameter fisiologinya selepas melakukan aktiviti fizikal. Ihsan Pembaca

myBIA mampu memberi penilaian komposisi tubuh yang tepat melalui analisis nilai galangan tubuh yang dibuat pada masa sebenar bagi mendapatkan tahap kolesterol dalam badan.

Komposisi tubuh adalah satu daripada cara digunakan sebagai penanda aras dalam menentukan tahap kesihatan tubuh individu, dan terdiri daripada tiga bahagian utama, iaitu taburan jisim tubuh, termasuk tisu otot dan lemak; kandungan air; dan nilai konduktiviti elektrik bagi tisu.

Sementara itu penyelidik bersama inovasi berkenaan dari Fakulti Perubatan UM, Prof Dr Tan Maw Pin, berkata sistem terbabit tidak menggunakan jarum atau sebarang peralatan lain untuk mengambil sampel daripada tubuh.

"Pengukuran kolesterol lazimnya menggunakan uji kaji kimia terhadap sampel darah yang diambil daripada pesakit. Proses ini mengambil masa agak panjang dan rumit, terutama apabila membabitkan pesakit berusia," katanya.

Dengan menggunakan myBIA, pesakit cuma perlu berpuasa empat jam dan keputusan ujian kolesterol boleh diperoleh dalam masa tiga minit.

Gambar rajah skema cara peranti myBIA berfungsi.Ihsan Pembaca

Seorang lagi penyelidik bersama dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr Mas Sahidayana Mohktar, berkata myBIA juga boleh membantu dalam proses diagnosis penyakit dan mengukur keberkesanan rawatan diterima, terutama yang memberi kesan terhadap nilai galangan tubuh.

"Ini termasuklah rawatan pemulihan, iaitu pergerakan fizikal seperti bersenam dan latihan fisioterapi.

"Secara tidak langsung, ini membantu pengamal perubatan membuat keputusan berdasarkan maklumat tambahan diperoleh menerusi penilaian komposisi tubuh pesakit," katanya.

INFO: Inovasi myBIA

  • Perkataan BIA adalah singkatan 'bio-impedance analysis' atau analisis galangan biologi/tubuh manusia.
  • Penyelidikan bermula pada 2013 dan berakhir tahun lalu.
  • Membabitkan dana penyelidikan RM162 ribu daripada geran dalaman UM.
  • Diguna pakai dalam kajian klinikal yang sedang dijalankan untuk mengukur tahap kolesterol warga emas di Pusat Perubatan UM.
  • Dijangka berada dalam pasaran tidak lama lagi.
  • Antara kebaikan:

- Memberi maklumat kuantitatif mengenai perubahan galangan tubuh yang direkodkan secara automatik
- Teknik pengukuran yang selamat dan bukan invasif
- Pengukuran hanya memerlukan masa singkat
- Boleh digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan lain yang memberikan perubahan terhadap bacaan galangan tubuh.

Berita Harian X