Selasa, 7 Februari 2023 | 12:29pm
Pelabur asing merekodkan jualan bersih empat minggu berturut-turut di pasaran saham tempatan - Foto hiasan
Pelabur asing merekodkan jualan bersih empat minggu berturut-turut di pasaran saham tempatan - Foto hiasan

Pelabur asing teruskan penjualan saham tempatan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual ekuiti Malaysia berjumlah sehingga RM380.8 juta pada minggu dagangan yang lebih singkat minggu lalu berikutan cuti umum Hari Wilayah Persekutuan berbanding RM57.8 juta pada minggu sebelumnya, menandakan jualan bersih minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research.

Dalam satu nota hari ini, ia berkata bagi minggu lalu, aliran masuk bersih hanya dicatatkan pada Khamis sebanyak RM35.6 juta manakala aliran keluar paling banyak adalah pada Selasa berjumlah RM98.9 juta sebelum pasaran ditutup untuk cuti umum pada Rabu.

"Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lalu ialah produk dan perkhidmatan pengguna RM58.7 juta, teknologi RM23.7 juta dan telekomunikasi dan media RM15.7 juta.

"Tiga sektor terbawah dengan aliran keluar bersih ialah perkhidmatan kewangan RM174 juta, penjagaan kesihatan RM43.3 juta dan perladangan RM35.9 juta. Setakat tahun ini, pelabur asing sudah menjual bersih RM89.1 juta," katanya.

Sementara itu, MIDF berkata institusi tempatan mengekalkan minat belian mereka di Bursa Malaysia dengan belian bersih RM130.6 juta minggu lalu, iaitu belian bersih minggu keempat berturut-turut.

"Peruncit tempatan bertukar pembeli bersih minggu lalu, membalikkan arah aliran jualan bersih tiga minggu berturut-turut. Belian bersih mereka mencecah nilai RM49.4 juta setakat Jumaat lalu. Mereka hanya menjual bersih RM36 juta pada Khamis tetapi menjadi pembeli bersih dengan merekodkan RM38.9 juta pada Isnin, RM39.6 juta pada Selasa dan RM6.9 juta pada Jumaat," katanya.

Dari segi penyertaan, ia berkata terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian secara keseluruhan iaitu 64.7 peratus, 19.6 peratus dan 7.8 peratus masing-masing daripada pelabur asing, institusi tempatan dan peruncit tempatan.

-BERNAMA

Berita Harian X