HONG KONG: Kebimbangan geopolitik selepas Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh belon pengintip China yang disyaki terapung di seluruh negara itu selama beberapa hari, menambah kepada penurunan pasaran saham Asia hari ini.
Pasaran Asia menjunam dan dolar AS terus mengukuh selepas laporan pekerjaan AS di luar jangkaan sekali meningkatkan unjuran kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) akan terus dinaikkan.
Rali lebih sederhana pada Januari terhenti bulan ini selepas pelabur memerhati tempoh kos pinjaman tinggi yang disasarkan untuk menurunkan inflasi daripada paras tinggi sejak beberapa dekad.
Nada lebih lembut daripada Fed berhubung langkah pengetatan kewangannya memberi kelegaan kepada peserta pasaran dengan kemungkinan kenaikan kadar faedah akan dihenti atau dikurangkan menjelang akhir tahun.
Namun, tahap keyakinan itu dijejaskan oleh data yang diumumkan pada Jumaat yang menunjukkan lebih daripada setengah juta pekerjaan baharu diwujudkan di AS bulan lalu, hampir dua kali ganda angka yang dicatatkan pada Disember dan mengatasi angka yang dianggarkan iaitu 188,000 pekerjaan.
Angka pekerjaan itu juga menunjukkan pengangguran jatuh ke tahap terendah sejak tahun 1969.
Bacaan menunjukkan ekonomi terbesar di dunia itu kekal kukuh walaupun hampir setahun kenaikan kadar dan harga yang melambung tinggi, yang menunjukkan Fed masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengekang inflasi.
"Kami bimbang dengan laporan pekerjaan seperti ini, ia pasti membawa Fed ke 'jalan yang lebih tinggi' (kadar faedah)," kata penganalisis Bank Wealth Management di AS, Lisa Erickson.
"Sudah tentu ada titik data lain sebelum mesyuarat yang akan datang, tetapi ia pasti meletakkan pasaran buruh berdepan dengan risiko menjadi sangat ketat."
"Peniaga kini mengharapkan Fed untuk terus menaikkan kadar sehingga lebih daripada lima peratus sebelum berhenti.
Ketua Fed San Francisco, Mary Daly, berkata beliau bersedia untuk momentum, sementara kadar faedah juga akan dinaikkan untuk beberapa waktu.
Ketiga-tiga indeks utama di Wall Street susut, dengan Nasdaq turun lebih dari satu peratus ketika firma teknologi terjejas selepas laporan pendapatan yang mengecewakan Amazon, Alphabet dan Apple.
Kerugian berterusan di Asia, dengan Hong Kong jatuh 1.9 peratus, manakala Shanghai, Sydney, Seoul, Taipei, Manila dan Jakarta juga susut.
-AFP