Jumaat, 3 Februari 2023 | 3:40pm
Pelabur asing jual RM350 juta saham Malaysia pada Januari - Foto hiasan
Pelabur asing jual RM350 juta saham Malaysia pada Januari - Foto hiasan

Pelabur asing penjual saham tempatan lima bulan berturut-turut

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjadi penjual bersih sejumlah RM350 juta saham di Bursa Malaysia pada Januari, jualan bersih bulan kelima berturut-turut.

Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Wong Chew Hann, berkata jumlah berkenaan meningkatkan angka jualan bersihnya sejak awal 2010 atau pasca krisis kewangan global kepada RM32 bilion.

"Pegangan asing ekuiti Malaysia berubah sedikit dari Disember 2022 iaitu 20.6 peratus," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Di rantau ASEAN, pelabur asing turut menjadi penjual bersih di Indonesia (AS$200 juta), tetapi membeli ekuiti di Thailand (AS$540 juta), Vietnam (AS$160 juta) dan Filipina (AS$120 juta) pada Januari.

Chew Hann berkata, melihat semua pegangan asing dalam saham terpilih liputannya, berlaku pergerakan besar pada suku terakhir 2022.

"Ini dibandingkan dengan pegangan asing dalam ekuiti Malaysia yang tidak berubah pada 20.6 peratus pada akhir September dan Disember tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, jualan ekuiti pelabur runcit domestik pula berada pada RM410 juta, dilonjakkan oleh institusi domestik berjumlah RM750 juta pada Januari.

"Nilai dagangan purata harian pada Januari 2023 kekal perlahan, daripada Disember 2022 berjumlah RM2.1 bilion," katanya.

Disember lalu menjadi satu lagi bulan aliran keluar dana asing berjumlah RM900 juta daripada bon Malaysia daripada RM1 bilion yang dicatatkan pada November 2022.

Bagi tempoh setahun penuh 2022, aliran keluar dana asing bersih adalah RM9.8 bilion daripada RM33.6 bilion pada 2021 di tengah-tengah latar belakang pengetatan kadar faedah yang diterajui oleh pasaran negara maju.

Jumlah pegangan asing menurun kepada RM246.8 bilion pada akhir 2022 daripada RM256.6 bilion pada 2021.

Berita Harian X