Jumaat, 7 Oktober 2022 | 7:54pm
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Bajet 2023 gagal pacu kenaikan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah dengan indeks utama (CI) susut 1.02 peratus disebabkan kekurangan minat belian ketika pelabur mencerna pengumuman Bajet 2023 yang dibentangkan hari ini, selain akibat jualan besar-besaran global, menurut seorang penganalisis

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 14.43 mata kepada 1,406.00 berbanding 1,420.43 yang dicatatkan pada Khamis.

Indeks penanda aras, yang dibuka 1.36 mata adalah lebih baik pada 1,421.79, bergerak antara 1,405.18 dan 1,421.90 sepanjang hari ini.

Kelebaran pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 425 berbanding 291, manakala 459 kaunter tidak berubah, 1,172 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.91 bilion unit bernilai RM1.43 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata ketiadaan pemangkin belian adalah disebabkan pasaran yang gelisah di tengah-tengah risiko serta ketidaktentuan pasaran global yang memuncak.

"FBM KLCI mencatatkan trend yang agak rendah berdasarkan jumlah dagangan yang lemah memandangkan pelabur seolah-olah enggan membuat langkah yang lebih ketara. Pasaran banyak dipengaruhi oleh faktor luaran buat masa sekarang," katanya.

Indeks serantau utama juga berada dalam wilayah negatif berikutan isyarat yang tidak memberangsangkan daripada Wall Street semalaman ketika pelabur berhati-hati terhadap risiko kemelesetan di tengah-tengah tanda-tanda pengetatan dasar bank pusat yang lebih agresif, katanya.

Sementara itu, Maybank mencatatkan kejatuhan sebanyak dua sen kepada RM8.65, Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM8.57, CIMB merosot satu sen kepada RM5.25 dan IHH Healthcare adalah lebih rendah sebanyak lima sen kepada RM5.76, manakala Public Bank meraih satu sen kepada RM4.26.

Di kalangan kaunter aktif, Top Glove lemah tiga sen kepada 64.5 sen, Serba Dinamik berkurangan setengah sen kepada 1.5 sen dan Citaglobal menokok dua sen kepada 25.5 sen, manakala MY E.G. menambah setengah sen kepada 91 sen dan MMAG Holdings tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 82.80 mata kepada 10,050.79, FBM 70 turun 57.00 mata kepada 12,251.87, Indeks FBMT 100 naik 87.46 mata kepada 9,798.54, Indeks FBM Emas Syariah susut 125.83 mata kepada 10,071.30 manakala FBM ACE kehilangan 34.69 mata kepada 4,708.97.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga melemah sebanyak 1.11 mata kepada 697.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.67 mata kepada 174.05, Indeks Perladangan merekodkan penyusutan 94.82 mata kepada 6,467.32 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan hilang 48.81 mata kepada 16,072.21.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.23 bilion saham bernilai RM1.25 bilion berbanding 1.38 bilion saham semalam yang bernilai RM1.31 bilion.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 181.42 juta unit bernilai RM34.13 juta daripada 161.61 juta unit bernilai RM28.11 juta sebelum ini.

Manakala, jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 493.18 juta saham bernilai RM144.85 juta berbanding 706.76 juta saham bernilai RM252.64 juta yang disaksikan semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 154.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (307.65 juta), pembinaan (33.68 juta), teknologi (132.06 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.57 juta), hartanah (101.03 juta), perladangan (11.25 juta), REIT (2.74 juta), dana tertutup (4,100), tenaga (200.57 juta), penjagaan kesihatan (166.40 juta), telekomunikasi dan media (31.90 juta), pengangkutan dan logistik (23.20 juta) serta utiliti (12.31 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X