Jumaat, 7 Oktober 2022 | 11:18am
Pelabur di peringkat tempatan mungkin berdagang dengan lebih berhati-hati menjelang pembentangan Bajet 2023 - Foto hiasan
Pelabur di peringkat tempatan mungkin berdagang dengan lebih berhati-hati menjelang pembentangan Bajet 2023 - Foto hiasan

Sentimen pelabur saham berhati-hati menjelang Bajet 2023

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini sebelum menyusut beberapa minit kemudian berikutan sentimen berhati-hati menjelang pembentangan Bajet 2023 lewat hari ini, kata seorang peniaga.

Pada jam 10.13 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.63 mata kepada 1,412.80 daripada 1,420.43 pada penutup urus niaga Khamis.

Indeks utama itu dibuka 1.36 mata lebih baik pada 1,421.79.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 322 berbanding 188, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,546 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 701.26 juta unit bernilai RM331.42 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia menjangka pasaran global kekal tidak menentu manakala pelabur di peringkat tempatan mungkin berdagang dengan lebih berhati-hati menjelang pembentangan Bajet 2023.

"FBM KLCI mencatatkan kerugian kecil kerana pelabur mengambil untung pada jam terakhir semalam. Sementara itu, Wall Street telah kembali lemah selepas beberapa hari mencatatkan kenaikan," katanya dalam nota penyelidikan.

Bagi komoditi, harga minyak mentah meningkat melebihi US$94 selepas Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mengambil keputusan untuk mengurangkan pengeluaran, manakala harga minyak sawit mentah pula berlegar melepasi paras RM3,750, kata firma itu.

Dilaporkan Malaysia akan mengurangkan pengeluaran minyak mentah hariannya sebanyak 27,000 tong kepada 567,000 tong di bawah rancangan pengurangan pengeluaran kolektif sebanyak dua juta tong sehari oleh OPEC+.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan IHH Healthcare turun empat sen setiap satu kepada RM8.63 dan RM5.77, Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM8.62, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.27 dan CIMB meningkat tiga sen kepada RM5.29.

Bagi saham aktif, Vinvest naik setengah sen kepada 18.5 sen, Top Glove turun setengah sen menjadi 67.5 sen, Citaglobal susut 1.5 sen kepada 27.5 sen manakala MMAG Holdings dan Serba Dinamik tidak berubah pada 2.5 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 41.61 mata kepada 10,091.98, FBM 70 lebih rendah 9.15 mata menjadi 12,299.72 dan Indeks FBMT 100 lemah 42.22 mata kepada 9,843.78.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 66.51 mata kepada 10,130.62 dan FBM ACE turun 27.45 mata kepada 4,716.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 47.06 mata kepada 16,073.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.57 mata kepada 174.15, Indeks Perladangan lemah 33.50 mata kepada 6,528.64 dan Indeks Tenaga berkurangan 3.99 mata kepada 694.31.

-BERNAMA

Berita Harian X