Khamis, 6 Oktober 2022 | 9:30pm
Terdapat minat untuk mencabar kekuatan baharu ringgit pada masa ini -NSTP/Eizairi Shamsudin
Terdapat minat untuk mencabar kekuatan baharu ringgit pada masa ini -NSTP/Eizairi Shamsudin

Ringgit jatuh kepada RM4.63 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit susut daripada kenaikan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis dalam persekitaran sentimen bercampur-campur dalam pasaran berikutan pelabur terus mencari mata wang selamat AS itu, kata peniaga.

Pada jam 6.02 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.6345/6390 berbanding dolar AS daripada 4.6290/6315 pada Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran masih memberi tumpuan kepada dolar AS berikutan China cuti pada minggu ini dan pelabur menantikan data senarai gaji bukan ladang AS esok.

"Oleh itu, terdapat minat untuk mencabar kekuatan baharu ringgit pada masa ini.

"Impak senarai gaji bukan ladang menjadikan ringgit diniagakan rendah, pasaran mengambil kira acara berisiko besar pada Jumaat dan kita mungkin berada dalam dagangan julat tetapi setakat minggu ini, ia adalah kenaikan kecil untuk unit tempatan," katanya.

Beliau berkata, kenaikan dolar AS jangka pendek dilihat tidak menarik berikutan mereka menunggu data senarai gaji bukan ladang, yang boleh menawarkan kemasukan semula yang baik untuk belian dolar AS jika data mengatasi jangkaan dan menyokong pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS kepada kadar faedah tinggi.

Jika data pekerjaan AS lemah, beliau menjangka dolar AS akan merosot kepada 4.6000.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound kepada 5.2231/2282 daripada 5.2706/2734 semalam, naik berbanding yen Jepun kepada 3.2033/2066 daripada 3.2037/2056 sebelum ini dan meningkat berbanding euro kepada 4.5821/5866 daripada 4.5966/5991 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2518/2552 daripada 3.2500/2522 pada Rabu.

-BERNAMA

Berita Harian X