Rabu, 5 Oktober 2022 | 7:38pm

Bursa Malaysia meningkat untuk hari ketiga berturut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini bagi tiga hari berturut-turut sejajar dengan prestasi bursa serantau lain di tengah-tengah sentimen yang bertambah baik selepas kenaikan di Wall Street semalaman, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran itu meningkat 11.19 mata atau 0.70 peratus untuk ditutup kepada 1,420.55 daripada paras penutup 1,409.36 pada Selasa.

Ia dibuka tinggi naik 4.31 mata kepada 1,413.67 dan bergerak ke paras setinggi 1,424.65.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 518 berbanding 349, manakala 397 kaunter tidak berubah, 1,066 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.23 bilion unit bernilai RM1.72 bilion.

Ketua penyelidikan harta dan penasihat UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan di Wall Street semalam merangsang dagangan di FBM KLCI dan pasaran Asia.

"Dalam tempoh jangka pendek, pasaran dijangka terus terdedah kepada ketidaktentuan luaran dan prestasi pasaran Amerika Syarikat (AS).

"Di pasaran tempatan, tumpuan akan terarah kepada pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.

"Walaupun terdapat peluang dagangan, kami merasakan Bajet 2023 dan pilihan raya umum ke-15 secara umumnya neutral pasaran," katanya.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka keseluruhan sentimen pasaran bertambah baik memandangkan penurunan harga komoditi, terutamanya minyak mentah, mungkin mengurangkan risiko inflasi dalam ekonomi global.

Bagaimanapun, pelabur masih berhati-hati dengan peningkatan kemeruapan pasaran walaupun pasaran tempatan kekal dalam kedudukan terlebih jualan, katanya.

Thong menjangka FBM KLCI diniagakan tinggi sedikit antara 1,410 dan 1,430 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan paras ketahanan segera pada 1,450 dan paras sokongan pada 1,400, diikuti pada 1,380.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.70, Petronas Chemicals meningkat 26 sen kepada RM8.65 dan CIMB menokok tiga sen kepada RM5.26. Public Bank jatuh dua sen kepada RM4.25 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.85.

Dalam kalangan saham cergas, MMAG Holdings berkurangan satu sen kepada 2.5 sen, Cypark Resources turun 2.5 sen kepada 43.5 sen dan Hiap Huat Holdings susut setengah sen kepada 15.5 sen.

Hibiscus Petroleum melonjak 7.5 sen kepada 94.5 sen dan Top Glove naik dua sen kepada 64 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 68.54 mata kepada 10,119.45, FBM 70 naik 54.91 mata kepada 12,235.62, dan Indeks FBMT 100 menokok 69.86 mata kepada 9,872.69.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 100.37 mata kepada 10,169.91 dan FBM ACE naik 25.27 mata kepada 4,734.27.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 9.58 mata kepada 694.10, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 34.67 mata kepada 16,126.10, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 4.09 mata kepada 173.95.

Indeks Perladangan melonjak 157.00 mata kepada 6,595.06.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.47 bilion saham bernilai RM1.43 bilion berbanding 1.36 bilion saham bernilai RM1.26 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 346.67 juta unit bernilai RM59.66 juta daripada 107.86 juta unit bernilai RM13.55 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 1.41 bilion saham bernilai RM228.56 juta daripada 443.62 juta saham bernilai RM180.15 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 215.16 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (445.50 juta), pembinaan (35.01 juta), teknologi (157.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.39 juta), hartanah (148.44 juta), perladangan (35.62 juta), REITs (4.82 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (199.52 juta), penjagaan kesihatan (111.64 juta), telekomunikasi dan media (19.93 juta), pengangkutan dan logistik (34.48 juta) dan utiliti (10.26 juta).

– Bernama

Berita Harian X