Rabu, 5 Oktober 2022 | 7:34pm
Gambar fail. - NSTP / ZULFADHLI ZULKIFLI.
Gambar fail. - NSTP / ZULFADHLI ZULKIFLI.

Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menjelang pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada Jumaat ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.6290/6315 daripada dolar AS berbanding paras 4.6420/6450 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengalami sedikit persaingan hari ini disebabkan pasaran pertukaran asing yang tidak stabil.

"Pelabur tempatan dijangka ingin memastikan hala tuju sebelum menjual dolar AS dan membeli unit tempatan.

"Nampaknya, dolar dalam kedudukan panjang merentasi pasaran mata wang lebih menyeluruh," katanya.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, di AS, laporan perubahan pekerjaan bukan perladangan ADP bagi September akan menjadi tumpuan utama lewat hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2706/2734 daripada 5.2752/2786 sewaktu ditutup semalam dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2037/2056 daripada 3.2067/2090 sebelum ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2500/2522 daripada 3.2462/2487 pada Selasa dan merosot berbanding euro kepada 4.5966/5991 daripada 4.5863/5893 sebelum ini.

– Bernama

Berita Harian X