Rabu, 5 Oktober 2022 | 1:00pm
Pasaran kewangan global telah mencatatkan pemulihan mendadak selepas kenaikan kadar faedah mula berhasil mengawal tekanan harga -NSTP/Aizuddin Saad
Pasaran kewangan global telah mencatatkan pemulihan mendadak selepas kenaikan kadar faedah mula berhasil mengawal tekanan harga -NSTP/Aizuddin Saad

Kenaikan kadar faedah mula berhasil kawal inflasi

HONG KONG: Pasaran saham Asia melonjak selepas pelabur semakin berharap bahawa kenaikan kadar faedah akan menjadi kurang agresif di tengah-tengah isyarat awal bahawa langkah mengetatkan dasar sebelum ini berhasil untuk mengurangkan tekanan harga di beberapa ekonomi utama dunia.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun meningkat 0.5 peratus selepas pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mengakhiri sesi sebelumnya dengan kenaikan.

Pasaran saham Asia meningkat 1.35 peratus dalam dagangan awal hari ini, manakala indeks saham Nikkei di Jepun menokok 0.34 peratus.

Indeks Hang Seng di Hong Kong meningkat 3.76 peratus sehari selepas cuti umum, manakala pasaran di China masih ditutup sempena cuti umum.

Permulaan kukuh bagi pasaran saham Australia adalah kenaikan dua hari pertama kali pertama sejak 13 September lalu dan mencatatkan prestasi harian terbaik dalam tempoh lebih dua tahun semalam selepas Reserve Bank of Australia (RBA) mengarahkan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, lebih kecil daripada jangkaan.

Di Wall Street, indeks Dow Jones dan S&P 500 masing-masing mencatatkan rali dua hari terbesar dalam tempoh dua tahun apabila kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah yang agresif mulai reda.

Sentimen itu dicetuskan selepas jumlah pekerjaan ditawarkan di AS mencatatkan penurunan terbesar dalam tempoh hampir dua setengah tahun pada Ogos, dalam satu isyarat bahawa misi Rizab Persekutuan (Fed) untuk meredakan permintaan dengan menaikkan kadar faedah sedang membuahkan hasil.

"Pasaran (telah) pulih semula daripada kemerosotan selama beberapa minggu di Wall Street, di tengah-tengah harapan bahawa Fed akan menyederhanakan pendekatan agresif terhadap rancangannya untuk menaikkan kadar faedah selepas data menunjukkan berlaku penurunan dalam tawaran pekerjaan di negara itu," kata penganalisis penyelidikan, Ord Minnett dalam satu nota kepada pelabur, hari ini.

Bagaimanapun, menerusi satu lagi isyarat beberapa bank pusat masih lagi bimbang dengan inflasi, New Zealand menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas semalam, seperti jangkaan, namun berkata ia mempertimbangkan kenaikan sebanyak 75 mata asas lagi.

Indeks Dow Jones Industrial Average meningkat 2.8 peratus, S&P 500 menokok 3.06 peratus dan Nasdaq Composite menambah 3.34 peratus.

Indeks S&P 500 merekodkan permulaan bulan Oktober terbaiknya sejak 1930, menurut penganalisis Macquarie.

"Pasaran kewangan global telah mencatatkan pemulihan mendadak, dirangsang oleh jangkaan bahawa bank-bank pusat akan mengikuti tindakan RBA dan mengurangkan kadar kepantasan mengetatkan dasar monetari masing-masing," kata penganalisis ANZ.

Sementara itu, harga minyak mentah AS jatuh 0.15 peratus kepada AS$86.39 setong. Minyak mentah Brent susut kepada AS$91.80 setong.

Harga emas pula susut sedikit, dengan spot emas diniagakan pada AS$1,724.6667 seauns.

-Reuters

Berita Harian X