Rabu, 5 Oktober 2022 | 10:21am
Pelabur memantau pergerakan harga saham-saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pelabur memantau pergerakan harga saham-saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia melonjak menjelang Bajet 2023

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh harga minyak yang lebih kukuh serta aktiviti memburu saham berharga murah menjelang pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.90 mata kepada 1,416.26 daripada 1,409.36 pada penutup urus niaga Selasa.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini dengan meningkat 4.31 mata untuk mencatatkan paras 1,413.67.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 262 berbalas 60, manakala 176 kaunter tidak berubah, 1,832 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 226.75 juta unit bernilai RM63.55 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, bursa tempatan mungkin bersedia untuk pemulihan selanjutnya selepas menyaksikan kenaikan semalam, dirangsang oleh saham wajaran tinggi telekomunikasi, pengguna dan perbankan terpilih, manakala dana asing bertukar menjadi pembeli bersih selepas 14 sesi penjualan.

"Kami berpendapat momentum belian dalam saham berkaitan telekomunikasi, solar dan pengguna terpilih akan berterusan sehingga pembentangan Bajet 2023.

"Sementara itu, pelabur dijangka memilih saham tenaga berikutan pemulihan dalam harga minyak mentah," kata firma itu.

Minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$91 setong manakala harga minyak sawit mentah berlegar melebihi RM3,750 satu tan.

Memandangkan kerancakan pergerakan semalaman di Nasdaq Wall Street, Malacca Securities berkata pelabur juga mungkin melihat minat belian susulan dalam kaunter teknologi.

Justeru, paras rintangan diunjur berada pada julat 1,430 -1,450, manakala sokongan ditetapkan berlegar sepanjang paras 1,400 hari ini.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan CIMB naik dua sen setiap satu kepada RM8.70 dan RM5.25, Public Bank menokok lima sen menjadi RM4.32 dan Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM8.43, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.85.

Bagi saham aktif, MMAG Holdings menokok dua sen kepada 5.5 sen, ATA IMS naik setengah sen kepada 31.5 sen, Hibiscus Petroleum menambah 4.5 sen kepada 91.5 sen, manakala kedua-dua SNS Network Technology dan Xidelang Holdings tidak berubah pada 27 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 49.98 mata kepada 10,100.89, FBM 70 peroleh 60.53 mata menjadi 12,241.24 dan Indeks FBMT 100 mengukuh 48.15 mata kepada 9,850.98.

Indeks FBM Emas Syariah pula menambah 52.90 mata kepada 10,122.44 dan FBM ACE meningkat 40.86 mata kepada 4,749.86.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meraih 12.35 mata kepada 696.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 60.58 mata menjadi 16,152.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih tinggi 1.05 mata kepada 170.91 dan Indeks Perladangan mengukuh 23.91 mata kepada 6,461.97.

-BERNAMA

Berita Harian X