Isnin, 27 Jun 2022 | 10:55am
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama - Foto hiasan
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama - Foto hiasan

Dagangan ringgit bermula lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan urus niaga pagi Isnin dengan pelabur menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih tinggi ditetapkan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keempat minggu depan untuk membendung inflasi, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.00 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3990/4020 berbanding dolar AS daripada 4.4010/4045 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit akan kekal dalam julat ketat kerana peserta pasaran juga akan mempertimbangkan kemungkinan keputusan mesyuarat itu.

"Ini benar terutama apabila kadar inflasi semasa berterusan berada pada 2.8 peratus sehingga Mei. Ia memberi kita gambaran bahawa kadar faedah sebenar sudah berada di zon negatif memandangkan paras OPR nominal ialah 2.00 peratus. Justeru, peningkatan OPR nampak ketara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam menambah berikutan paras kadar inflasi yang meningkat bersama dengan pengetatan monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed), terdapat tanda-tanda kemunculan kelembapan ekonomi.

"Berdasarkan testimoni yang dibentangkan pengerusi Fed, Jerome Powell pada minggu lalu, kita dapat melihat dengan jelas desakan daripada Ahli Kongres mengenai bagaimana pengetatan Fed boleh menjejaskan ekonomi.

"Dalam hal itu, sebarang tanda kelembapan ekonomi akan meyakinkan Fed untuk memikirkan semula strategi mereka bagi mengunjurkan keupayaan untuk penurunan sederhana ekonomi," katanya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3985/4021 daripada 5.4128/4171 pada penutupan Jumaat minggu lalu dan meningkat berbanding euro kepada 4.6440/6472 daripada 4.6444/6481 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1727/1754 daripada 3.1710/1740 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2670/2697 daripada 3.2590/2621 pada Jumaat lalu.

-BERNAMA

Berita Harian X