Jumaat, 24 Jun 2022 | 8:06pm
Pergerakan saham-saham di Bursa Malaysia
Pergerakan saham-saham di Bursa Malaysia

Dagangan Bursa Malaysia berakhir positif

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi hari ini dengan minat belian kebanyakannya dalam saham teknologi dan penjagaan kesihatan serta jualan dalam kaunter perladangan, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.65 mata atau 0.39 peratus kepada 1,436.70 daripada paras penutup 1,431.05 pada Khamis.

Indeks utama itu yang dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,431.30, bergerak antara paras 1,431.30 dan 1,440.73 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 519 berbanding 345, manakala 405 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 2.46 bilion unit bernilai RM1.47 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM1.56 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI melonjak lebih tinggi berikutan aktiviti mencari saham berharga murah dalam persekitaran sentimen yang bertambah baik di seluruh rantau ini.

Bagi bursa tempatan, beliau berkata, Rakuten optimis tetapi berhati-hati memandangkan sentimen keseluruhan yang bertambah baik di peringkat serantau dan global dengan pasaran tempatan dijangka kekal dalam kedudukan lebihan jualan.

"Namun begitu, pelabur harus berhati-hati kerana pasaran tidak menentu sejak beberapa minggu lalu, pelabur cuba menentukan sama ada kemelesetan akan berlaku," katanya.

Melihat kepada ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat, Thong menjangkakan, FBM KLCI diniagakan tinggi dalam jajaran 1,430-1,460 minggu depan dengan paras sokongan serta-merta pada 1,430 dan rintangan pada 1,490.

Bagi saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Inari Amerton bertambah tujuh kepada RM2.60, Hartelega naik lima sen kepada RM2.78, IHH Healthcare melonjak enam sen kepada RM6.42 dan Maybank meningkat empat sen kepada RM8.60 manakala Top Glove kekal tidak berubah pada RM1.05.

Bagi saham aktif, Dagang NeXchange melonjak satu sen kepada 76.5 sen, Cypark Resources bertambah 4.5 sen kepada 46.5 sen, Reach Energy meningkat tiga sen kepada 8.5 sen, TWL Holdings tidak berubah pada tujuh sen dan Hibiscus Petroleum turun tiga sen kepada 90.5 sen.

-BERNAMA

Berita Harian X