X
Rabu, 18 Mei 2022 | 7:18pm

Harga saham CHHB menjunam, Bursa kemuka pertanyaan

KUALA LUMPUR: Country Heights Holdings Bhd (CHHB) mendapat pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) hari ini selepas jumlah dagangan sahamnya meningkat dan harga saham jatuh mendadak mencecah had rendah harian.

Pada pembukaan sesi dagangan hari ini, saham CHHB dibuka tinggi satu sen kepada RM1.20, namun kemudiannya merosot mencecah had rendah pada 83.5 sen, yang mana ia jatuh sebanyak 35.5 sen atau 29.83 peratus.

Kemerosotan yang ketara itu menjadikan saham CHHB antara kaunter paling rugi pada sesi dagangan hari ini di Bursa Malaysia.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia berikutan pertanyaan UMA itu, CHHB memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang berkaitan dengan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan termasuk dalam peringkat rundingan atau perbincangan.

Ia berkata, Lembaga Pengarahnya juga tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan itu.

"Lembaga Pengarah tidak mengetahui sebarang penjelasan yang mungkin untuk menjelaskan aktiviti dagangan. Syarikat mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Securities, khususnya Perenggan 9.03 Keperluan Penyenaraian Bursa Securities mengenai kewajipan pendedahan segera," katanya.

Berita Harian X