Khamis, 12 Mei 2022 | 7:05pm
Pelabur memerhatikan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pelabur memerhatikan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia jatuh 17.13 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan tekanan jualan besar-besaran di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang lemah, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 17.13 mata ke paras terendah intra hari pada 1,538.80 berbanding paras penutup 1,555.93 pada Rabu.

Petunjuk utama itu, yang dibuka 1.01 mata lebih tinggi kepada 1,556.94, bergerak dalam aliran positif semasa sesi awal pagi, mencecah paras intra hari tertinggi pada 1,559.71 sebelum kembali menyusut pada pertengahan tengah hari.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 874 berbanding 209, manakala 336 kaunter tidak berubah, 823 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.61 bilion unit bernilai RM2.51 bilion daripada 2.40 bilion unit bernilai RM1.91 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau kebanyakannya rendah berikutan jualan besar-besaran yang berterusan di Wall Street apabila pelabur masih bimbang dengan kenaikan kadar faedah yang pantas.

Di pasaran tempatan, beliau berkata FBM KLCI melepasi paras sokongan 1,540, oleh itu pasaran tempatan mungkin mengalami keadaan yang tidak menentu di tengah-tengah peningkatan kemeruapan serantau.

"Bagaimanapun, kami percaya ini akan menyediakan peluang belian memandangkan penilaian murah ekuiti tempatan berbanding ekuiti serantau.

"Justeru, kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,535-1,550 ke arah hujung minggu, paras sokongan pada 1,530 dan paras ketahanan pada 1,575," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.07, Public Bank dan Petronas Chemicals kedua-duanya turun dua sen masing-masing kepada RM4.63 dan RM9.87, manakala IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.45.

Dalam kalangan kaunter cergas, Serba Dinamik meningkat 2.5 sen kepada 8.5 sen, MNC susut setengah sen kepada dua sen, Techna-X tidak berubah pada 11.5 sen, Dagang NeXchange susut lapan sen kepada 93 sen dan CSH Alliance turun 1.5 sen kepada 11 sen.

Di seluruh papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup159.30 mata kepada 10,953.04, Indeks FBMT 100 berkurangan 145.45 mata kepada 10,640.48, Indeks FBM Emas Shariah turun 213.34 mata kepada 11,301.78, FBM ACE susut 129.36 mata kepada 5,229.78 dan FBM 70 jatuh 287.73 mata kepada 12,966.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 64.64 mata kepada 16,701.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.91 mata kepada 193.47 dan Indeks Perladangan jatuh 212.13 mata kepada 8,021.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.45 bilion saham bernilai RM2.29 bilion daripada 1.74 bilion saham bernilai RM1.74 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 345.22 juta unit bernilai RM68.47 juta daripada 251.33 juta bernilai RM46.66 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 820.02 juta unit bernilai RM149.96 juta berbanding 406.83 juta saham bernilai RM118.36 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 297.75 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (515.42 juta), pembinaan (142.50 juta), teknologi (245.92 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (79.83 juta), hartanah (183.34 juta), perladangan (84.20 juta), REITs (7.01 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (770.42 juta), penjagaan kesihatan (49.45 juta), telekomunikasi dan media (25.73 juta), pengangkutan dan logistik (25.60 juta) dan utiliti (18.33 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X