Isnin, 9 Mei 2022 | 7:01pm

Pasaran serantau lemah heret turun Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurunnya untuk ditutup rendah hari ini sejajar dengan kelemahan pasaran serantau dengan jualan berterusan terutamanya dalam saham perladangan, produk dan perkhidmatan perindustrian serta teknologi, kata seorang peniaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 15.16 mata kepada 1,549.18 daripada paras penutup 1,564.34 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka 0.54 mata lebih rendah kepada 1,563.80 mencecah paras terendah intra harinya pada 1,546.64 dalam sesi lewat tengah hari.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 827 berbanding 183, manakala 333 kaunter tidak berubah, 902 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.22 bilion unit bernilai RM2.03 bilion berbanding 3.10 bilion unit bernilai RM2.43 bilion sebelumnya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata kebanyakan pasaran utama serantau mencatatkan prestasi rendah hari ini kecuali Shanghai, susulan petunjuk negatif daripada Wall Street pada Jumaat lalu.

"Selain itu, sekatan pergerakan yang ketat di Shanghai, China telah menjejaskan sentimen pelabur kerana ini mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global," katanya.

Beliau berkata, di pasaran tempatan, FBM KLCI melepasi paras sokongannya pada 1,580 dan 1,550 dalam dua hari dagangan berturut-turut.

"Kami percaya sentimen pasaran akan kekal berhati-hati di tengah-tengah prestasi serantau yang lemah walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangkakan berlaku," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals turun 20 sen kepada RM10, Press Metal Aluminium susut 18 sen kepada RM5.20 manakala IOI Corporation dan Sime Darby Plantation kedua-duanya berkurangan 17 sen masing-masing kepada RM4.39 dan RM4.92.

Dalam kalangan kaunter cergas, Serba Dinamik susut 24 sen kepada 11 sen, Euro Holdings jatuh 3.5 sen kepada 19 sen, Techna-X berkurangan setengah sen kepada 11.5 sen, PUC turun satu sen kepada lima sen dan Hibiscus Petroleum susut 3.0 sen kepada RM1.37.

Di papan indeks, FBM ACE turun 114.25 mata kepada 5,383.01, FBM 70 susut 161.52 mata kepada 13,224.55, Indeks FBM Emas berkurangan 121.95 mata kepada 11,083.61, Indeks FBMT 100 jatuh 111.21 mata kepada 10,744.30 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 165.78 mata kepada 11,527.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 67.79 mata kepada 16,608.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 3.91 mata kepada 200.19 dan Indeks Perladangan jatuh 281.67 mata kepada 8,251.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengukuh kepada 2.40 bilion saham bernilai RM1.90 bilion berbanding 1.82 bilion saham bernilai RM2.24 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran turun kepada 207.99 juta unit bernilai RM21.89 juta daripada 348.95 juta unit bernilai RM61.01 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 613.79 juta saham bernilai RM107.08 juta daripada 932.12 juta saham bernilai RM130.62 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 341.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (446.53 juta), pembinaan (117.56 juta), teknologi (137.07 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.89 juta), hartanah (115.73 juta), perladangan (81.53 juta), REITs (13.87 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (955.77 juta), penjagaan kesihatan (33.60 juta), telekomunikasi dan media (30.12 juta), pengangkutan dan logistik (23.53 juta) dan utiliti (28.99 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X